Punca kemalangan enam sekeluarga maut masih disiasat

Punca kemalangan enam sekeluarga maut masih disiasat


ALOR SETAR: Polis masih menjalankan siasatan berhubung punca kemalangan melibatkan enam sekeluarga yang menaiki Proton X50 dengan sebuah lori tanah di Kampung Baru, Pinang Tunggal, petang semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya akan menyiasat semua elemen berkaitan dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang nahas itu.

“Hasil siasatan awal mendapati lori muatan tanah itu dipandu hanya pada kelajuan 60 kilometer sejam ketika kejadian dan terdapat juga maklumat kenderaan utiliti sukan (SUV) itu baru dibeli dan diambil pada pagi tadi (semalam).

“Kita akan tengok mungkin ada masalah, pemeriksaan akan dibuat secara menyeluruh di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pemandu lori berusia 47 tahun yang ditahan sejurus kejadian didapati negatif dadah.

“Bagaimanapun dia didapati mempunyai tujuh saman termasuk empat yang belum diselesaikan. Namun begitu, dia mempunyai lesen memandu sah dan kelajuan lori semasa kejadian hanya 60 kilometer sejam. Permohonan reman ke atas pemandu lori terbabit akan dibuat di mahkamah Sungai Petani esok,” ujarnya.

Adzli turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

“Jangan buat spekulasi, kerana ada yang WhatsApp kepada saya kata pemandu lori itu mabuk dan maklumkan kata berlainan bangsa. Saya rasa ini satu spekulasi yang sangat tidak bertanggungjawab. Saya maklumkan di sini bahawa pemandu lori dan keluarga terlibat berbangsa Melayu,” jelasnya.

Sementara itu, enam mangsa yang terkorban dalam nahas itu disahkan sebagai Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Nibong Tebal.

Turut maut isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, yang merupakan jururawat di sebuah hospital di Sungai Bakap, Pulau Pinang serta bayi mereka, Ahmad Mikail yang baru berusia dua bulan. Seorang lagi anak pasangan itu iaitu Aulia Sofea, 3, cedera parah pada muka.

Tiga lagi mangsa yang maut ialah adik Ahmad Syafiq iaitu Ahmad Fahim, 21, pemilik Proton X50 berkenaan yang bekerja sebagai jurujual kedai telefon dan ibunya, Nora Mohd Husin, 55, serta anak saudaranya, Iskandar Affan Ibrahim, 7.  UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top