Mexico hadir pada edisi kali ini dengan misi menebus kekecewaan Piala Dunia 2022. Foto Agensi
PERLAWANAN pembukaan Piala Dunia 2026 antara Mexico dan Afrika Selatan di Estadio Azteca awal pagi nanti (3 pagi waktu Malaysia) dijangka menjadi ujian pertama buat tuan rumah yang memasang impian memulakan kempen dengan langkah kanan.
Pertemuan Mexico dan Afrika Selatan di Estadio Azteca mengimbau kenangan 16 tahun lalu apabila kedua-dua pasukan turut membuka tirai Piala Dunia dengan keputusan seri.
Mexico melakar sejarah sebagai negara pertama menjadi tuan rumah Piala Dunia lelaki sebanyak tiga kali selepas edisi 1970 dan 1986, kali ini bersama Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Skuad kendalian Javier Aguirre turut hadir dengan misi menebus kekecewaan Piala Dunia 2022 apabila gagal melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama sejak 1978.
Selepas melalui tempoh kurang meyakinkan dengan enam perlawanan persahabatan tanpa kemenangan sepanjang 2025, prestasi El Tri kembali meningkat tahun ini apabila mencatat keputusan positif ke atas beberapa pasukan kuat sebelum meraih tiga kemenangan berturut-turut menjelang kejohanan.
Rekod Mexico dalam aksi pembukaan Piala Dunia juga memberi keyakinan apabila mereka tidak pernah tewas dalam tujuh perlawanan pertama kejohanan sejak 1994, dengan lima kemenangan dan dua keputusan seri.
Sokongan lebih 80,000 penyokong di Estadio Azteca dijangka menjadi pemangkin tambahan buat pasukan ranking ke-14 dunia itu untuk menguasai Kumpulan A yang turut dibarisi Korea Selatan dan Republik Czech.
Bagaimanapun, Afrika Selatan tidak hadir sekadar melengkapkan jadual pertandingan.
Bafana Bafana kembali ke pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 2010 selepas mengharungi kempen kelayakan yang mencabar untuk muncul juara kumpulan di zon Afrika.
Di bawah bimbingan jurulatih Belgium, Hugo Broos, Afrika Selatan menunjukkan ketahanan mental sepanjang kempen kelayakan termasuk bangkit mengatasi beberapa detik sukar untuk mengesahkan tiket ke Amerika Utara.
Walaupun dilabel pasukan paling lemah dalam Kumpulan A berdasarkan ranking semasa, pengalaman dan disiplin taktikal yang diterapkan Broos mampu memberi masalah kepada tuan rumah.
Afrika Selatan mungkin berdepan tugas paling sukar dalam bola sepak antarabangsa iaitu menentang negara tuan rumah dalam aksi pembukaan, namun kemampuan mereka menyerap tekanan dan bertahan dengan tersusun boleh menjadikan perlawanan ini lebih sengit daripada jangkaan ramai.
Bagi Mexico, tiga mata dalam aksi pembukaan bukan sahaja penting untuk membina momentum, malah mampu membuka laluan lebih selesa dalam usaha menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.






