Benarkah dunia komedi mahu ‘tidur’? – Ieda Moin 

Benarkah dunia komedi mahu ‘tidur’? – Ieda Moin 


“Dunia komedi tanah air sekarang ini saya lihat seolah-olah sudah mahu ‘tidur’. Situasinya semakin lama semakin senyap dan suasananya tidak lagi semeriah seperti dahulu”

“Platform itu sudah semakin kurang. Pelawak sekarang kebanyakan lari daripada industri komedi. Mereka pergi menjadi juruhebah radio dan ada yang buat pengacara majlis”

Demikian ujar pelakon versatil, Ieda Moin, 47, ketika meluahkan realiti industri komedi tanah air yang disifatkannya semakin malap. Ieda yang sudah lama berada dalam dunia lakonan tempatan ini melihat situasi sebegitu sebagai satu fasa yang membimbangkan bagi rakan seperjuangan yang mempertaruhkan bakat komedi mereka.

“Kalau mahu diikutkan, tapak kita dalam industri komedi ini sudah semakin kurang. Macam sekarang ini, saluran untuk Astro Warna pun sudah ditutup,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ieda atau Siti Haida Abd Moin, dia akui kerisauannya mengenai ketiadaan pelapis baharu yang mampu menyambung legasi dunia komedi negara, khususnya dalam kalangan wanita. Faktor kekurangan bakat baharu ini menyebabkan industri kelihatan statik dan hanya bergantung kepada kelompok wajah yang sama sejak sekian lama.

“Sebab kita kekurangan pelapis. Kalau bercakap tentang pelawak atau komedian wanita, jumlahnya sangat sedikit. Jika perasan, kita sebenarnya boleh menghitung dengan jari sahaja siapakah pelakon komedi wanita yang ada sekarang.

“Satu lagi saya mahu tambah, pelawak bukan dibayar sehebat pelakon-pelakon besar yang lain. Bayaran kami agak kurang memuaskan. Tapi bagi saya, saya belum lagi ada isu dengan benda itu. Sebab sekarang ini, saya masih bersyukur kehadiran saya dalam industri lakonan dan komedi masih lagi diperlukan,” jelasnya.

Ditanya mengenai identiti dirinya, Ieda mengakui dia lebih selesa dikenali sebagai seorang pelakon berbanding pelawak, memandangkan dia tidak pernah memenangi mana-mana anugerah lawak secara rasmi.

“Bagi saya, saya tidak berani meletakkan diri dalam kalangan komedian atau pelawak sebab saya tidak pernah dinobatkan mahupun dikategorikan sedemikian. Tetapi, penonton melabelkan saya sebagai pelakon komedi kerana saya sering membawakan watak-watak lucu. 

“Saya mulanya bukan sebagai pelakon komedi. Saya mula dengan cerita-cerita yang berat. Cuma orang tidak berapa perasan, dan saya lebih menyerlah dengan watak komedi. Mungkin itu jugalah penyebabnya kenapa orang nampak saya pandai melawak sahaja,” jelasnya.

Bagi mengekalkan kelangsungan kerjaya, Ieda memilih untuk tidak mengehadkan keupayaannya pada satu genre sahaja. Dia sentiasa meletakkan prinsip sedia menggalas apa-apa sahaja karakter yang ditawarkan, sama ada watak yang mencuit hati mahupun watak yang menuntut air mata.

“Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang pelawak, malah saya tidak pernah menyekat apa sahaja watak yang diberikan kepada saya. Bagi saya, itu adalah cara untuk menyeimbangkan kredibiliti. Saya meletakkan diri saya sebagai seorang pelakon, bukannya seorang pelawak.

“Ada yang kata mereka tak sangka rupanya saya boleh bawa watak sedih dan menangis. Maklum sahajalah, selama ini orang ingat saya hanya tahu melawak, jadi mereka tak sangka yang lakonan saya kali ini betul-betul boleh membuatkan penonton turut menangis,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pasaran filem, Ieda berpendapat naskhah komedi yang ringkas dan membawa mesej yang baik sebenarnya sentiasa mendapat tempat di hati penonton. Namun, industri kini berdepan cabaran besar selepas pemergian pengarah berkaliber, Allahyarham Mamat Khalid, yang meninggalkan lompang besar dalam genre satira tempatan.

“Sebenarnya, karya komedi tidak semestinya sebuah cerita yang kosong atau tidak berilmiah. Kadangkala, sesebuah cerita komedi mampu menyampaikan nasihat dan pengajaran yang mendalam kepada penonton. Sekiranya jalan cerita dan skrip yang dihasilkan itu berkualiti, karya tersebut pasti mampu pergi lebih jauh.

“Oleh sebab itu, saya berharap agar para penerbit filem di luar sana dapat menghasilkan karya komedi yang bermutu. Apatah lagi, industri seni kita telah kehilangan seorang pengarah yang sangat hebat dalam genre komedi, iaitu Allahyarham Mamat Khalid,” tambahnya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya seninya yang terkini, jadual seni Ieda nampaknya kekal padat dengan pelbagai komitmen penggambaran. Dia kini sedang terlibat dengan projek drama bersiri untuk platform digital tempatan serta slot drama popular di stesen televisyen utama.

“Saya baru sahaja habis penggambaran drama bersiri untuk Viu Malaysia dan sekarang tengah sibuk dekat set untuk slot Akasia TV3. Jadual sekarang memang tengah padat sangat sebab penggambaran berturut-turut. Cuma untuk projek Viu itu, jalan ceritanya memang kelakar habis dan saya digandakan dengan Amy Mastura.

“Tapi selalunya, kalau saya dipanggil untuk berlakon dalam cerita yang berat, peranan saya adalah untuk redakan ketegangan itu. Watak saya diperlukan sebagai ‘penyejuk suasana’ supaya jalan cerita yang serius tidak nampak terlalu stres sangat untuk penonton,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top