Messi terkejut pertemuan dengan ‘generasi kedua’ Gudjohnsen

Messi terkejut pertemuan dengan ‘generasi kedua’ Gudjohnsen


Daniel (kiri) memperkenalkan dirinya sebagai anak lelaki Eidur Gudjohnsen kepada Messi. Foto: Agensi

BINTANG Argentina, Lionel Messi kelihatan terkejut selepas bertemu Daniel Gudjohnsen, anak kepada bekas rakan sepasukannya di Barcelona dalam aksi pemanas badan menentang Iceland pada Rabu.

Messi, 38, yang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dalam perlawanan tersebut, dilihat sempat berpelukan dan bertukar beberapa kata dengan pemain Iceland itu selepas wisel penamat.

Perbualan antara kedua-duanya dipercayai berkisar mengenai bapa Daniel, Eidur Gudjohnsen yang pernah bergandingan dengan Messi ketika awal kariernya di Barcelona antara 2006 hingga 2009.

Sepanjang tempoh itu, Messi dan Eidur membantu Barcelona meraih treble La Liga, Copa del Rey dan Liga Juara-Juara pada musim terakhir penyerang Iceland berkenaan di kelab itu.

Daniel, 20, kini beraksi bersama kelab Sweden, Malmo serta sudah mengumpul beberapa penampilan antarabangsa bersama Iceland, sekali gus mewakili generasi baharu keluarga Gudjohnsen di pentas bola sepak.

Messi yang bersiap untuk penampilan Piala Dunia keenam dilihat gembira dengan pertemuan itu, sambil berkongsi momen mesra bersama pemain muda berkenaan di atas padang.

Argentina dijadual membuka kempen Piala Dunia menentang Algeria pada 17 Jun (9 pagi waktu Malaysia), dalam aksi yang turut bakal menjadi penampilan antarabangsa ke-200 Messi.

Kapten Argentina itu sebelum ini menjulang Piala Dunia di Qatar dan kini memburu misi mempertahankan kejuaraan, dengan rekod hanya Itali dan Brazil pernah melakukannya dalam sejarah kejohanan.

Argentina diundi dalam Kumpulan J bersama Algeria, Austria dan Jordan.



Source link

OR

Scroll to Top