Penyokong Iran, Reza Mansoor, bergambar di luar kem pangkalan pasukan Iran di Hotel Marriott di Tijuana, Mexico pada 9 Jun 2026, menjelang kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026.
PASUKAN bola sepak Iran memulakan sesi latihan di kem mereka di Mexico pada Khamis, sekali gus memberi gambaran awal kepada dunia mengenai persiapan skuad itu menjelang Piala Dunia walaupun dibayangi ketegangan geopolitik dengan Amerika Syarikat (AS).
Selepas memindahkan kem latihan dari lokasi asal di Arizona ke Tijuana, pasukan yang dikenali sebagai ‘Team Melli’ itu dilaporkan mengambil pendekatan lebih tertutup sejak tiba pada Ahad lalu.
Dalam sesi latihan terbuka berkenaan, pihak media hanya diberi peluang selama 15 minit untuk menyaksikan sekumpulan kecil pemain menjalani latihan pemanasan badan.
Daripada keseluruhan 26 pemain, hanya sekitar 12 orang hadir, manakala penyerang utama Mehdi Taremi antara yang tidak kelihatan dalam sesi tersebut.
Berpakaian jersi hijau, para pemain melakukan larian ringan di padang latihan milik kelab tempatan, Xolos, sebelum meneruskan dengan latihan regangan serta pengukuhan teras menggunakan tikar buih.
Iran dijadualkan membuka kempen Piala Dunia mereka menentang New Zealand pada Isnin di Los Angeles, AS.

Peminat bola sepak bersorak menyambut kehadiran pemain Iran ketika mereka meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Tijuana dengan menaiki bas di Tijuana, Mexico.
Menurut seorang pegawai pasukan, skuad itu dijangka memasuki AS pada Ahad dan akan bermalam di sana sebelum perlawanan berlangsung.
Sebelum ini, duta Iran ke Mexico memaklumkan bahawa pasukan tersebut hanya akan dibenarkan memasuki AS pada hari perlawanan dan perlu beredar sebaik sahaja tamat aksi.
Penyertaan Iran dalam kejohanan yang dianjurkan bersama oleh AS, Mexico dan Kanada ini hadir tiga bulan selepas konflik ketenteraan tercetus melibatkan Iran, AS dan Israel, yang turut memberi kesan kepada kestabilan rantau Asia Barat serta ekonomi global.
Sementara itu, sesi latihan terbuka ini berlangsung ketika Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan apa yang disifatkannya sebagai penyelesaian besar bagi menamatkan konflik dengan Iran, dengan jangkaan perjanjian dimeterai di Eropah seawal hujung minggu ini. – AFP






