Seluruh dunia nantikan penampilan ke-200 Messi

Seluruh dunia nantikan penampilan ke-200 Messi


Penyokong Argentina berkampung di Kansas City menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia negara itu menentang Algeria.

LIONEL Messi menjadi tumpuan apabila kapten Argentina itu dijangka mencatat penampilan antarabangsa ke-200 ketika juara bertahan itu membuka kempen Piala Dunia menentang Algeria di Stadium Kansas City hari ini (9 pagi waktu Malaysia).

Pada usia 39 tahun, Messi terus menjadi nadi utama Argentina yang hadir ke Amerika Syarikat (AS) dengan misi mempertahankan gelaran dimenangi di Qatar empat tahun lalu.

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni percaya aura dimiliki pemenang lapan kali Ballon d’Or itu masih belum pudar apabila setiap penampilannya terus dinantikan peminat bola sepak dari seluruh dunia.

“Bukan hanya rakyat Argentina mahu melihatnya beraksi, malah seluruh dunia. Dia memberi impak kepada sesiapa sahaja yang mencintai bola sepak,” kata Scaloni.

Kehadiran Messi pada kejohanan kali ini turut mencetus persoalan sama ada ia bakal menjadi penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.

Bagaimanapun, segala kebimbangan mengenai tahap kecergasannya selepas mengalami sedikit masalah hamstring sebelum kejohanan semakin reda apabila beliau tampil meyakinkan dalam aksi pemanas badan menentang Iceland minggu lalu.

Messi masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua, menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dan menamatkan aksi tanpa sebarang masalah kecederaan.

Jika diturunkan menentang Algeria, bintang Inter Miami itu bukan sahaja melengkapkan 200 penampilan antarabangsa dan keenam di pentas Piala Dunia, malah berpeluang mendekatkan Argentina kepada satu lagi pencapaian bersejarah.

Hanya dua negara pernah mempertahankan kejuaraan Piala Dunia iaitu Itali dan Brazil, manakala Perancis gagal mengikut jejak langkah itu selepas ditewaskan Argentina pada final 2022.



Source link

OR

Scroll to Top