Daim dirawat, pendakwa pertikai surat hospital

Daim dirawat, pendakwa pertikai surat hospital


KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan hari ini memohon perintah Mahkamah Sesyen di sini agar Hospital Assunta mengemukakan laporan perubatan penuh Tun Daim Zainuddin bagi menjelaskan tahap kesihatan bekas Menteri Kewangan itu yang dimasukkan ke hospital semalam.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berkata, surat bertarikh semalam (16 Oktober) yang dihantar oleh pihak pembelaan, tidak menyertakan alasan mengapa Daim dimasukkan ke hospital atau penyakit yang dialaminya.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan turut memohon perintah mahkamah agar doktor yang merawatnya serta pihak yang menandatangani surat berkenaan hadir bagi menjelaskan keadaan kesihatan bekas Menteri Kewangan itu ekoran ketidakhadirannya pada prosiding berkenaan.

“Kami mempunyai alasan yang cukup kuat untuk mengemukakan permohonan tersebut kerana surat yang dikeluarkan tidak menyertakan alasan mengapa Daim dimasukkan ke hospital,” ujar Chin How.

Bagaimanapun, Hakim Azura Alwi tidak mengeluarkan sebarang perintah terhadap permohonan itu setelah berpendapat isu ketidakhadiran Daim tidak perlu diperbesar-besarkan kerana mahkamah sudah mengecualikan kehadirannya pada prosiding hari ini.

Azura sepatutnya menyampaikan keputusan terhadap permohonan pendakwaan agar Daim menjalani pemeriksaan mental di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menentukan sama ada beliau layak dibicarakan terhadap pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta yang dimilikinya.

Bagaimanapun, Azura menetapkan 20 November ini bagi hujahan lanjut selepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan.





Source link

OR

Scroll to Top