ILIA Topuria menjadi mangsa terbaru dalam senarai lawan Justin Gaethje apabila dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk patah hidung dan retak tulang orbital selepas aksi UFC Freedom yang berlangsung di Rumah Putih sambil disaksikan Presiden Donald Trump, baru-baru ini.
Lebih malang buat Topuria, ia merupakan aksi sulungnya mempertahankan kejuaraan lightweight sebelum tewas TKO pusingan pertama selepas pertarungan dihentikan atas nasihat doktor.
Akibat kecederaan parah itu, Presiden UFC Dana White memaklumkan bahawa Topuria terpaksa menerima rawatan di hospital.
Sebelum ini, beberapa nama besar turut merasai impak sama apabila berdepan Gaethje antaranya Tony Ferguson, Paddy Pimblett, Eddy Alvares, Michael Chandler dan Rafael Fiziev yang masing-masing mengalami kecederaan teruk akibat gaya pertarungan penuh tekanan dan tanpa henti Gaethje.
Namun begitu, satu-satunya pengecualian kekal milik Khabib Nurmagomedov yang menewaskan Gaethje di UFC 254 enam tahun lalu menerusi kuncian triangle choke pada pusingan kedua.
Lebih menarik, jaguh dari Dagestan itu bukan sahaja menang dalam pertarungan tersebut, malah langsung tidak mengalami sebarang kecederaan ketara pada wajahnya.
Sepanjang karier UFC, bekas juara lightweight dengan rekod 29-0 itu turut dikenali sebagai petarung yang tidak pernah berdarah atau mengalami kecederaan serius di dalam oktagon, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara petarung paling dominan dalam sejarah lightweight UFC.






