KUALA TERENGGANU: Polis menahan dua beradik yang dipercayai mengambil upah menyimpan bekalan dadah yang melibatkan sindiket antarabangsa dengan menjadikan Kampung Duyong Besar di sini, sebagai transit penyimpanan sebelum diseludup ke pasaran luar negara, minggu lalu.
Taktik dua beradik lelaki berusia 39 tahun dan 50 tahun itu yang menjadikan rumah pusaka peninggalan ibu bapa mereka sebagai lokasi transit dan penyimpanan bunga ganja itu terbongkar selepas premis berkenaan diserbu polis pada 14 Jun lalu.
Serbuan pada pukul 3.30 petang itu melibatkan rampasan keseluruhan kira-kira RM1.9 juta.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, serbuan tersebut merampas bungkusan disyaki mengandungi 22 kilogram dadah jenis bunga ganja bernilai kira-kira RM1.76 juta.
Beliau berkata, bunga dadah yang juga dikenali sebagai nugget atau buds itu dipercayai mahu dipasarkan ke luar negara sebagai bahan utama pembuatan sejenis perisa cecair vape.
“Bungkusan dadah itu dijumpai di dalam sebuah rumah di Kampung Duyong Besar bersama seorang lelaki berusia 39 tahun dalam serbuan pertama yang membawa kepada penangkapan abang suspek pertama berusia 50 tahun di hadapan sebuah rumah di perkampungan sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.
Mohd. Khairi berkata, dua beradik itu dipercayai mengambil upah menyimpan bekalan dadah yang dibawa dari luar negara menggunakan jalan laut sejak Mac lalu.
Katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM6,000, kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Tucson, motosikal Yamaha NVX dan Yamaha 135LC juga disyaki dibeli menggunakan hasil dadah.
Beliau berkata, ujian urin mendapati dua beradik tersebut negatif namun suspek berusia 50 tahun yang masih bujang memiliki 13 rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Mereka ditahan reman selama dua minggu sehingga 27 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN






