KUALA LUMPUR: Syarikat produksi, Sudi Production, sedang giat mengumpul dana dan menyeru pembabitan pelabur untuk merealisasikan filem biopik yang mengangkat kisah perjalanan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Menurut anak saudara Allahyarham Sudirman, Razman Azrai Zainuddin atau Atai, syarikat produksinya kini sudah mempunyai bayangan pengarah, pelakon dan jalan cerita yang turut menceritakan kegemilangan muzik Malaysia pada era 80-an.
“Kita mahu hasilkan filem yang menceritakan bagaimana muzik Malaysia pernah lebih tinggi daripada K-pop bahkan Canto-pop jatuh di bawah Malaysia. Kita mahu kembalikan zaman itu dan bagaimana masyarakat bersatu.
“Skrip sudah ada, pengarah pun kami sudah bayangkan siapa, begitu juga pelakon. Finas juga telah beri asas pertolongan membuat skrip. Jalan cerita boleh dikatakan 80 peratus persediaan sudah ada.
“Tetapi kami perlukan sumbangan syarikat korporat atau pihak yang sehaluan untuk memberikan sumbangan tidak terhad kewangan malah tunjuk ajar, teknologi AI dan sebagainya. Apa-apa bentuk sumbangan pun kami alukan boleh hubungi [email protected] atau [email protected],” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai filem tersebut, Atai berkata perancangan untuk menghasilkan filem ini sudah tercetus sejak lima tahun lalu. Pihaknya bercadang menerbitkan naskhah ini pada 2028 bergantung kepada sambutan daripada pelabur.
“Jika bantuan tiba lebih awal, filem ini akan terbit lebih cepat. Ini bukan tentang Sudirman sahaja tetapi bagaimana kita mahu meletakkan muzik Malaysia di peta dunia.
“Biar orang belajar tentang adat, budaya pada 80-an dengan berbilang bangsa yang saling bersatu.
“Malaysia sebenarnya ada harta karun yang kita tak pernah hargai. Selain daripada P. Ramlee yang memang sudah dikenali, kita ada Sudirman. Allahyarham boleh dipelajari dan diterima oleh pelbagai komuniti,” katanya.
Bercakap mengenai bajet, Atai mengakui filem biopik yang hebat memang memakan jumlah yang besar sehingga 10 juta USD. Bagaimanapun, dia enggan meletakkan sebarang angka tertentu untuk filem Sudirman.
“Kalau kita nak buat filem biopik standard antarabangsa, anggaran adalah 5 ke 10 juta USD. Namun saya mahu lihat dulu adakah kita boleh buat tahap antarabangsa seperti di Academy Awards (Oscar).
“Tapi kita tahulah, kalau nak buat filem biasa di Malaysia, RM6 juta dah cukup. Jadi kita tengoklah macam mana sambutan itu nanti.
“Setakat hari ini sudah ada syarikat yang menyatakan hasrat, tapi belum ‘sign’ lagi, masih secara lisan. Syarikat korporat pun bagi respon positif. Saya harap ia menjadi realiti,” katanya. -UTUSAN





