Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di Kuala Lumpur hari ini bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri Johor.
Pertemuan berlangsung dalam keadaan mesra & harmoni
Menurut Anwar dalam kenyataan di media sosial rasminya, pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni itu membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai isu semasa serta usaha berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.
“Saya menghadap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di Kuala Lumpur hari ini dalam suasana mesra dan harmoni.
Pertemuan ini memberikan ruang yang baik untuk bertukar pandangan dan membincangkan perkara-perkara terkait kebajikan serta kesejahteraan rakyat, khususnya di negeri Johor Darul Ta’zim,” ujarnya.
#
Perbincangan sentuh perkembangan semasa negara
Anwar menyatakan perbincangan turut menyentuh perkembangan semasa negara serta pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua pihak mencapai kesepakatan untuk terus mengekalkan hubungan baik dan memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor demi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
“Kami turut membincangkan perkembangan semasa dan perancangan berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.
Tunku Mahkota Ismail dan saya juga sepakat untuk terus mengekalkan hubungan yang baik, selain mengukuhkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor,” ujarnya.

Pertemuan tersebut dilihat sebagai satu langkah positif dalam mempererat hubungan antara kedua-dua pihak, khususnya dalam usaha memacu kemajuan Johor serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri itu.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim






