Pelakon, Bella Astillah mengajak orang ramai untuk bersama-sama menunaikan solat hajat dan mendoakan urusan rayuan akhir kes mahkamah melibatkan tunangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang akan diputuskan pada 30 Jun depan.
Ajak sama-sama mendoakan Syed Saddiq
Menurut Bella menerusi hantaran di media sosial, majlis tersebut akan diadakan di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya dan terbuka kepada semua yang ingin memberikan sokongan serta mendoakan agar segala urusan berjalan dengan baik.
“Sebenarnya saya nak minta jasa baik semua untuk sama-sama mendoakan kes Syed Saddiq yang akan berlangsung pada 30 Jun ini, tidak lama saja lagi.
“Tapi sebelum itu, saya ingin berbesar hati menjemput ramai orang, yang mengenali untuk sama-sama menjayakan majlis solat hajat dan juga doa selamat untuk Syed Saddiq di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra di Kelana Jaya.
“Kepada yang bukan Muslim pun boleh datang juga selepas pukul 8.30 malam. Kepada yang akan hadir, datang pada pukul 7 malam, boleh solat maghrib bersama-sama, insya-Allah,” katanya.
Beri sokongan dan harap tunang diberi ketabahan serta ketenangan
Dalam perkongsian sama, Bella mengakui teruja untuk bertemu dengan individu yang akan hadir bagi memberikan sokongan kepada Syed Saddiq.
“Tak sabar nak jumpa semua. Harap boleh datang ramai-ramai.
“Kita jumpa nanti, insya-Allah,” katanya lagi.
Bella turut berharap agar tunangnya diberikan ketenangan dan kekuatan untuk menghadapi proses mahkamah yang sedang berlangsung.
“Semoga Allah SWT mengurniakan ketenangan, kekuatan dan keadilan buatnya.
“Doa dan kehadiran anda semua adalah tanda kasih serta sokongan,” jelasnya.

Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan dijadualkan membuat keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada pada 30 Jun ini.
Sebelum ini, pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada November 2023. Sehari kemudian, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dalam sebuah majlis yang dihadiri ahli keluarga dan sahabat rapat. Bella turut mengakui masih belum membuat persiapan rapi untuk majlis pernikahan kerana mahu memberi tumpuan kepada urusan penting yang melibatkan tunangnya terlebih dahulu.
Sumber: Instagram bellaastillah






