JOHOR BAHRU: Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengakui calon-calon yang ditampilkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan terdiri daripada individu nama besar, sebaliknya hanya rakyat biasa.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, pihaknya yakin calon-calon yang akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi suara rakyat setempat.
Menurut beliau, Bersama juga tidak memerlukan lebih ramai ahli politik di dalam parti.
“Mereka tiada nama, tidak hebat, dalam kalangan rakyat biasa, tetapi mereka akan angkat suara rakyat seperti selayaknya seorang wakil rakyat yang memikul amanah dengan baik.
“Mungkin kita tidak akan menang dalam pilihan raya ini, tetapi saya yakin dalam tempoh lima, enam tahun akan datang Bersama akan diterima dan boleh menang pilihan raya,” katanya ketika berucap pada program Pengumuman Calon Bersama dan Pelancaran Trak Kancil PRN Johor di sini malam ini.
Tambah bekas Timbalan Presiden PKR itu, calon-calon yang ditampilkan terdiri daripada rakyat pelbagai lapisan, termasuklah golongan muda, dewasa, wanita dan lain-lain.
Berikut senarai calon Bersama bagi PRN Johor ke-16:
N14: Bukit Naning – Iskandar Md. Alias
N29: Mahkota – Abd. Hamid Ali
N40: Tiram – Dr. Harith Fakhrudin Abdul Malek
N41: Puteri Wangsa – Nicholas Paul Vincent
N42: Johor Jaya – Lau Yi Leong
N43: Permas – Dr. Zamil Najwah
N44: Larkin – Norsinah Abu
N45: Stulang – Stanley Tan
N46: Perling – Boo Wei Han
N47: Kempas – Salamahafifi Yusnaieny
N48: Skudai – Eugene Chua
N49: Kota Iskandar – Sahrudin Omar
N50: Bukit Permai – Aidil Riduan Mohd. Yusof
N51: Bukit Batu – Tamili Gopalakrishnan
N52: Senai – Tew Chian How






