Daniel Gimenez pengendali baharu Hoben Jang Hoben

Daniel Gimenez pengendali baharu Hoben Jang Hoben

Daniel Gimenez pengendali baharu Hoben Jang Hoben


 

KELAB Liga Malaysia (Liga-M), Negeri Sembilan FC (NSFC) melantik pengendali dari Sepanyol, Daniel Gimenez Alcaniz sebagai ketua jurulatih baharu skuad Rusa bagi menghadapi saingan musim 2026/27.

Kelab dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pemegang Lesen UEFA Pro berusia 42 tahun itu mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam bola sepak profesional merentasi benua Eropah, Asia dan Afrika.

 

“Sepanjang karier kejurulatihannya, beliau pernah berkhidmat bersama Al Ahed FC dari Lubnan, Al Nejmeh SC dari Lubnan, Al Hilal dari Sudan, Modern Sport FC dari Mesir, Akhaa Al Ahly FC dari Lubnan, skuad Bawah 17 Tahun Kebangsaan Lubnan serta Al-Nasr Club di Liga Profesional Oman.

 

“Antara pencapaian terbesar beliau termasuk memenangi Piala AFC 2019 bersama Al Ahed FC, menjuarai Liga Perdana Sudan bersama Al Hilal dan terkini menamatkan saingan Liga Profesional Oman bersama Al-Nasr di tempat ketiga, sekali gus melayakkan kelab itu ke saingan Piala Juara-Juara Kelab Arab,” menurut kenyataan itu.

 

Skuad Hoben Jang Hoben memaklumkan, pelantikan itu selaras dengan hala tuju kelab yang menekankan pembangunan pemain muda, identiti permainan yang jelas, disiplin taktikal serta pembentukan pasukan yang kompetitif dan mampan.

 

Dalam pada itu, Pengerusi Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataan sama berkata, pelantikan Daniel Gimenez melalui proses penilaian teliti dan beliau diyakini sebagai calon paling sesuai untuk menerajui projek pembangunan bola sepak kelab.

 

Beliau berkata, pengalaman Daniel Gimenez di beberapa negara dan falsafah bola sepak moden yang dimilikinya selari dengan identiti yang mahu diterapkan skuad Jang.

 

“Kami mahu membina sebuah pasukan yang berani bermain bola sepak moden, mempunyai organisasi taktikal yang baik dan pada masa sama, memberi ruang serta peluang kepada pemain muda untuk berkembang.

 

“Daniel Gimenez mempunyai rekod baik dalam membangunkan bakat muda dan memaksimumkan potensi pemain. Ini amat penting kerana masa depan Negeri Sembilan bergantung kepada keupayaan kelab membangunkan pemain yang mampu menjadi tulang belakang pasukan dalam jangka panjang,” katanya.

 

Aminuddin optimis pengalaman, kepakaran dan kepimpinan yang dimiliki Daniel Gimenez mampu membantu skuad Rusa mencapai sasaran yang ditetapkan serta membawa kelab itu ke tahap membanggakan.

 

Daniel Gimenez dijangka memulakan tugasnya bersama barisan kejurulatihan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

 



Source link

OR

Scroll to Top