Wakil Afrika buktikan bukan 'cap ayam'

Wakil Afrika buktikan bukan 'cap ayam'


Atlanta: Sembilan daripada 10 wakil Afrika pada Piala Dunia berjaya mara ke pusingan kedua, sekali gus mencipta kejayaan besar buat bola sepak benua itu yang mungkin membuka peluang kepada lebih banyak penyertaan pada kejohanan akan datang.

Kadar kejayaan 90 peratus itu hadir selepas Maghribi melakar sejarah mara ke separuh akhir di Qatar empat tahun lalu dan memberi harapan baharu kepada bola sepak Afrika yang sememangnya begitu diminati di benua itu, tetapi sering terhalang oleh masalah pentadbiran dan logistik.

“Ia adalah satu kebanggaan apabila begitu banyak pasukan Afrika berjaya layak ke pusingan 32 terbaik,” kata jurulatih Republik Demokratik Congo, Sebastien Desabre selepas pasukannya bangkit menewaskan Uzbekistan 3-1 untuk mengesahkan kemaraan.

Jurulatih dari Perancis itu yang mempunyai pengalaman hampir 15 tahun bersama kelab dan pasukan kebangsaan di Afrika berkata kemajuan bola sepak benua itu adalah hasil usaha yang berterusan.

“Sejak sekian lama, benua Afrika bekerja keras dan terus berkembang.

“Sudah tentu masih banyak ruang untuk diperbaiki dan kami perlu terus merendah diri, namun kami gembira dapat menjadi sebahagian daripada kemajuan bola sepak Afrika,” katanya selepas kemenangan pertama Congo di Piala Dunia.

Hanya Tunisia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan, manakala Cape Verde, Mesir, Ivory Coast, Maghribi dan Afrika Selatan muncul naib juara kumpulan masing-masing.

Algeria, Republik Demokratik Congo, Ghana dan Senegal pula mara sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik.

Presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), Patrice Motsepe berkata kejayaan itu membuktikan kualiti dan daya saing bola sepak Afrika kini diiktiraf di pentas dunia.

“Daya saing global dan kualiti bertaraf dunia bola sepak Afrika kini diiktiraf menerusi kemenangan dan kejayaan sembilan pasukan Afrika mara ke pusingan 32 terbaik.

“Kerja keras serta pelaburan dalam pembangunan akar umbi, kejurulatihan, liga profesional dan infrastruktur bola sepak di semua 54 ahli gabungan CAF kini mula membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Afrika perlu meneruskan momentum cemerlang itu sepanjang kejohanan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS) sekiranya mahu memperjuangkan tambahan kuota penyertaan pada Piala Dunia akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top