AS mara ke pusingan 16 selepas aksi 10 pemain benam Bosnia

AS mara ke pusingan 16 selepas aksi 10 pemain benam Bosnia

AS mara ke pusingan 16 selepas aksi 10 pemain benam Bosnia


AMERIKA Syarikat (AS) menempah slot ke pusingan 16 Piala Dunia dengan penuh dramatik apabila menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-0 di sebalik aksi tegang yang menyaksikan mereka terpaksa bermain dengan 10 pemain di penghujung perlawanan.

Malik Tillman muncul wira AS apabila meledak sepakan percuma cantik pada minit-minit akhir untuk memastikan kemenangan, sekali gus meredakan tekanan selepas Folarin Balogun dibuang padang.

AS bermula dengan penguasaan permainan namun buntu menembusi benteng Bosnia sehingga penghujung babak pertama.

Kebuntuan akhirnya terlerai pada masa kecederaan apabila Balogun bijak memanfaatkan bola muntah selepas percubaan awal terkena pemain lawan, sebelum tenang menolak bola melepasi penjaga gol untuk gol pembukaan.

Namun suasana berubah sebaik separuh masa kedua bermula apabila Bosnia meningkatkan intensiti serangan, sebelum AS kehilangan seorang pemain apabila Balogun dilayangkan kad merah selepas terjahan tinggi ke atas Tarik Muharemovic.

Pengadil Cesar Ramos pada awalnya membiarkan permainan diteruskan sebelum mengesahkan keputusan selepas semakan vidoe bantuan pengadil (VAR).

Kekurangan seorang pemain memaksa AS bertahan lebih dalam, manakala Bosnia melancarkan tekanan bertali arus dalam usaha mencari gol penyamaan.

Namun, benteng tuan rumah kekal berdisiplin dan menutup setiap ruang dengan kemas.

Ketika Bosnia semakin ghairah menyerang, AS akhirnya menghukum lawan mereka apabila Tillman meledak sepakan percuma menarik pada minit ke-82 untuk menggandakan kedudukan, sekali gus meranapkan harapan Bosnia untuk bangkit.

Kemenangan itu mengesahkan kemaraan AS ke pusingan 16 terbaik dan akan berdepan Belgium di Seattle pada 7 Julai, dalam usaha meneruskan kempen cemerlang di pentas Piala Dunia.

Bagaimanapun, mereka bakal turun tanpa Balogun yang digantung perlawanan selepas layangan kad merah, satu tamparan kecil menjelang aksi menentang Belgium.



Source link

OR

Scroll to Top