Tak pernah terlintas! Muhyiddin imbau detik jadi PM -“Entah macam mana Allah takdirkan”

Tak pernah terlintas! Muhyiddin imbau detik jadi PM -“Entah macam mana Allah takdirkan”


Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengimbau detik beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan sambil menyifatkan pelantikan itu sebagai ketentuan Allah yang membuka peluang untuk beliau menangani pelbagai isu membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Sendiri tidak menyangka

Memetik laporan daripada Astro Awani,  Muhyiddin menyatakan beliau sendiri tidak pernah menyangka akan diberi amanah memimpin negara, namun bersyukur atas rezeki yang dikurniakan kepadanya.

“Saya entah macam mana Allah takdirkan, Kun Fayakun, maka jadilah saya Perdana Menteri. Mana orang terlintas bahawa saya boleh jadi Perdana Menteri…. tapi itu rezeki saya, Allah bagi dan saya bersyukur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Felda Sungai Sibol pada Jumaat bagi membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Mohamad Alias Rasman.

Teraju negara ketika felda berdepan hutang

Muhyiddin menambah, ketika beliau menerajui kerajaan, peneroka Felda berdepan beban hutang mencecah kira-kira RM12 bilion, selain pendapatan yang tidak lagi mencukupi untuk menampung kos sara hidup dan pembayaran balik pinjaman.

“Hasil-hasil yang dapat dipungut oleh peneroka Felda tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup, inikan pula untuk membayar hutang-hutang Felda yang telah lama tertangguh,” ujarnya.

Beliau menjelaskan keadaan itu mendorong kerajaan pimpinannya menubuhkan jawatankuasa khas, menyediakan Kertas Putih Felda serta melaksanakan pelan pemulihan yang diluluskan di Parlimen.

Menurutnya, kerajaan ketika itu memperuntukkan hampir RM1 bilion setahun selama 10 tahun bagi memulihkan aliran kewangan Felda, termasuk meluluskan penghapusan hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion untuk mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Sumber: Astro Awani (Khalis Kadir)





Source link

OR

Scroll to Top