Bomba berjaya pujuk lelaki berpakaian wanita cuba terjun jejambat

Bomba berjaya pujuk lelaki berpakaian wanita cuba terjun jejambat


IPOH: Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang dipercayai cuba terjun dari sebuah jejambat di Jalan Bercham, di sini hari ini.

Lelaki berusia 24 tahun yang berpakaian wanita itu ditemukan orang awam sedang berdiri di tepi jejambat sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 9.42 pagi.

Anggota bomba berjaya menenangkan mangsa dalam tempoh kira-kira 10 minit sebelum membawanya ke lokasi yang lebih selamat.

Difahamkan, mangsa bertindak sedemikian dipercayai akibat masalah peribadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Akmar Hisham Basor berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian dibantu BBP Ipoh sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.

Katanya, jentera tiba di lokasi pada pukul 9.55 pagi dan mendapati mangsa berada di tepi jejambat dalam cubaan untuk terjun.

“Ketua operasi kemudian membuat penilaian situasi sebelum mengarahkan anggota menjalankan operasi menyelamat dengan memberi khidmat nasihat serta memujuk mangsa selama kira-kira 10 minit.

“Mangsa kemudian berjaya diselamatkan dan didapati mengalami kecederaan pada tangan,” katanya di sini hari ini.

Akmar Hisham berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan dan tindakan lanjut.

Katanya, operasi itu melibatkan tujuh anggota bomba dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), selain dibantu enam anggota polis dan dua petugas KKM.

“Operasi berjaya dikawal pada pukul 10.40 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.10 pagi,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top