FELCRA Berhad mengumumkan Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 berjumlah RM126.91 juta kepada 72,048 peserta daripada 747 projek yang mencatat keuntungan, menjadikannya Agihan Keuntungan Interim 1 kedua tertinggi dalam tempoh sedekad.
Agihan keuntungan RM126.91 juta

Pengerusi FELCRA Berhad, Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub berkata pencapaian tersebut membuktikan kekuatan FELCRA dalam mengurus operasi secara lebih efisien.
“Harga komoditi merupakan faktor yang tidak dapat kita kawal. Namun apa yang berada dalam kawalan FELCRA ialah bagaimana kita mengurus ladang dengan lebih cekap supaya manfaat kepada peserta dapat terus dipertingkatkan secara mampan,” katanya.
Pengumuman itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi, sempena Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.
Menurut FELCRA Berhad, pencapaian itu direkodkan walaupun industri perladangan berdepan penyusutan harga komoditi utama seperti minyak sawit mentah (CPO), buah tandan segar (BTS) dan getah yang menunjukkan trend penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu.
Namun, prestasi syarikat kekal kukuh hasil peningkatan bilangan projek yang mencatat keuntungan, pengurangan projek rugi serta pengurusan operasi yang lebih cekap. FELCRA turut menegaskan bahawa prestasi pembangunan ladang luar bandar tidak hanya bergantung kepada harga pasaran, sebaliknya dipacu oleh disiplin pengurusan, produktiviti ladang dan kecekapan operasi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohamed Ismi Abdul Majid pula penurunan projek yang mengalami kerugian adalah hasil pemantauan prestasi berterusan dan pengurusan kos yang lebih berhemat.

“Fokus kami adalah memastikan setiap pembangunan ladang luar bandar diurus secara sistematik melalui pemantauan prestasi yang berterusan, pengurusan kos yang berhemat serta peningkatan produktiviti bagi memastikan manfaat kepada peserta dapat dikekalkan secara mampan,” kongsinya.
Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan, perubahan pendekatan itu mencerminkan hala tuju baharu pembangunan desa yang lebih menyeluruh dan berdaya tahan.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan juga selari dengan tema Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 iaitu ‘Ke Arah Komuniti Luar Bandar Yang Dinamik, Makmur dan Bahagia’ yang julung kali dianjurkan di Malaysia.
Menurut beliau, kejayaan sesebuah kawasan luar bandar pada masa kini tidak lagi hanya diukur melalui pembangunan fizikal seperti jalan raya atau keluasan tanah pertanian, sebaliknya berdasarkan keupayaan melahirkan masyarakat berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

“Kejayaan sesebuah desa hari ini bukan lagi diukur melalui jumlah jalan raya yang dibina atau keluasan tanah yang diusahakan tetapi melalui kemampuan melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing serta mampu menentukan masa depan mereka sendiri.
“Komuniti luar bandar bukan sekadar penerima bantuan, sebaliknya merupakan rakan strategik kepada kerajaan dalam merancang dan melaksanakan pembangunan,” katanya ketika berucap.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Malaysia turut mencadangkan penubuhan *ASEAN Rural Development and Innovation Council (ARDIC) bagi menyelaras dasar, memperkukuh perkongsian amalan terbaik serta mempertingkatkan inovasi pembangunan luar bandar dalam kalangan negara ASEAN.
Selain itu, katanya, kerajaan juga sedang meneliti cadangan penubuhan ASEAN Halal Council bagi memperkukuh industri halal serantau, dengan Pahang dikenal pasti sebagai lokasi pembangunan hab industri halal terbesar negara.

“Produk dan jenama desa Malaysia mesti berani menembusi pasaran antarabangsa kerana ASEAN mempunyai lebih 680 juta penduduk dengan nilai ekonomi mencecah hampir RM16 trilion, manakala pasaran halal global pula dijangka bernilai kira-kira RM20 trilion menjelang 2030,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, FELCRA Berhad menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh pengurusan pembangunan ladang luar bandar serta kecekapan operasi bagi memastikan manfaat mampan kepada peserta, di samping menyumbang kepada ekonomi komuniti luar bandar dan agenda pembangunan desa negara.
Agihan keuntungan ini turut mencerminkan usaha berterusan FELCRA dalam memperkukuh sektor pembangunan luar bandar sebagai pemacu strategik pembangunan negara.
Untuk info, pembayaran tersebut melibatkan prestasi bagi tempoh Januari hingga April 2026 dan akan disalurkan secara berperingkat bermula hari ini.






