mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 554 individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian tanpa lesen menerusi Op Soga XI yang dilaksanakan sempena Piala Dunia 2026.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar S Muthuvelu, berkata, sepanjang operasi bermula 11 Jun lalu, sebanyak 422 serbuan dijalankan di seluruh negara.
Beliau berkata, daripada jumlah tangkapan itu, 508 adalah lelaki dan 46 wanita, membabitkan 341 warga tempatan serta 213 warga asing.
“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM167,062.09 manakala nilai keseluruhan pertaruhan yang dikesan adalah RM3.25 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis turut mengesan 263 laman sesawang termasuk laman web, platform, aplikasi dan media sosial yang digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak serta promosi perjudian.
“Tindakan menyekat laman sesawang dan menurunkan kandungan akan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 6(3) akta sama, Seksyen 4(1)(c) akta sama, Seksyen 4(1)(e) akta sama, dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 ,” katanya.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“PDRM akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan selain memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perjudian haram.
“Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






