SEPANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah kekuatan anggotanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 bermula minggu hadapan bagi memperkukuh pemantauan dan membanteras ‘ulat’ teksi di pintu masuk udara itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu penting bagi memastikan pemantauan dan rondaan dilakukan secara tiga shif selama 24 jam berbanding sebelum ini antara 7 pagi hingga 12 tengah malam.
Beliau berkata, ketika ini hanya 17 anggota JPJ ditempatkan di KLIA dan mereka bertugas secara syif bagi meliputi Terminal 1, manakala Terminal 2 pula tidak mempunyai anggota yang ditempatkan secara khusus.
“Beberapa anggota akan ditempatkan secara tetap di Terminal 2 selain menjalankan rondaan berterusan di Terminal 1 dan Terminal 2 bagi memastikan kegiatan ulat tidak lagi berleluasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi khas membanteras ulat pengangkutan di KLIA Terminal 2, di sini hari ini.
Katanya, kehadiran ulat pengangkutan tidak tertumpu pada waktu siang kerana terdapat penerbangan yang tiba seawal pukul 4 hingga 5 pagi, sekali gus menyebabkan penguatkuasaan sedia ada kurang berkesan.
“Sedangkan anggota kita hanya mula bertugas pada pukul 7 pagi. Sebab itu kita akan melaksanakan penugasan secara tiga syif selama 24 jam,” katanya.
Aedy Fadly berkata, sebelum ini JPJ berdepan kekangan perjawatan dan bilangan anggota sehingga menyukarkan penempatan pegawai di kedua-dua terminal secara menyeluruh.
Sehubungan itu, katanya, JPJ Selangor akan menggerakkan anggota dari beberapa cawangan bagi mengukuhkan operasi penguatkuasaan di KLIA sementara penstrukturan semula penugasan dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ turut memutuskan supaya Unit JPJ KLIA diperkasakan dengan menempatkan pegawai yang mempunyai gred lebih tinggi sebagai ketua unit bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan dan penyelarasan operasi.
“Sebelum ini ketua unit di KLIA terdiri daripada pegawai yang bergred lebih rendah. Pengurusan JPJ telah membuat keputusan untuk menempatkan pegawai yang lebih kanan bagi memantau dan mengendalikan operasi di sini dengan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN






