Belanjawan 2025: Projek berkepentingan rakyat beri manfaat kepada negeri

Belanjawan 2025: Projek berkepentingan rakyat beri manfaat kepada negeri


Melaka: Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 akan memberi manfaat kepada Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ini kerana laluan berkenaan bakal menjadi alternatif untuk pengguna ke Melaka selain Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

“Kerajaan negeri yakin peruntukan yang disalurkan menerusi Belanjawan 2025 mampu memperkasakan pertumbuhan ekonomi Melaka sekali gus membantu merencanakan pembangunan yang lebih progresif bagi rakyat negeri ini.

“Peruntukan itu juga akan menjadi komitmen buat kerajaan negeri dalam merangka pelbagai inisiatif seperti bantuan kebajikan, menstruktur pembangunan serta merencana program yang lebih inklusif,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa projek berkepentingan rakyat untuk Melaka iaitu pembinaan pusingan U bertingkat dan pusingan U terus (Direct U-Turn) dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana di Melaka Tengah dan pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral.

Turut diumumkan pembinaan Balai Polis baharu di Tanjung Minyak, Paya Rumput di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata, dua projek yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 untuk negeri itu dapat memberi keselesaan kepada rakyat.

Projek berkenaan adalah pembinaan jalan menghubungkan Jalan Pesisir Pantai ke Kuala Sanglang serta naik taraf Jalan Persiaran Wawasan, Kangar daripada dua kepada empat lorong dan naik taraf Pos Kawalan serta pembinaan blok baharu di Kompleks Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian.

“Berkaitan peruntukan bagi menaik taraf pekan di sempadan terutamanya di sempadan selatan Thailand, saya menyambut baik dan mengharapkan ia akan segera dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan pembentangan Belanjawan 2025 hari ini menjadi nilai tambah kepada rakyat dengan menyaksikan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun depan ditingkatkan.

Beliau berkata, di samping peningkatan bantuan kos sara hidup, aspek lain yang penting seperti bidang pendidikan dan kesihatan turut diberikan keutamaan oleh Kerajaan MADANI.

Dalam pada itu, beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih atas beberapa pengumuman projek tebatan banjir antaranya membabitkan Sungai Damansara Fasa 2 yang akan dapat membantu menyelesaikan masalah banjir di Seksyen 13, Shah Alam.

“Tepat pada masanya untuk kita (kerajaan negeri dan rakyat) mendapat suntikan bagi program tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor, di Shah Alam malam tadi.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Anwar turut mengumumkan pembesaran Pelabuhan Klang ke arah aspirasi sebagai 10 pelabuhan terbaik dunia. Kerajaan turut akan melebarkan jalan di Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang serta Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top