KUALA TERENGGANU: Sebanyak 134 kes kecurian meter air dilaporkan berlaku di sekitar Kuala Terengganu dan Marang sejak bulan lalu dan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) tidak menolak kemungkinan kejadian itu adalah terancang.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, kejadian itu bukan sahaja membabitkan meter air lama, malah terdapat kes meter yang baru dipasang dan belum sempat diaktifkan turut dicuri.
Katanya, kebanyakan kes berlaku di kawasan perumahan apabila pencuri didapati menyasarkan keseluruhan kawasan itu dalam satu-satu masa.
“Sehingga dua hari lalu, kita merekodkan sebanyak 134 kes kecurian meter air di negeri ini melibatkan daerah Kuala Terengganu dan Marang. Yang membimbangkan, terdapat juga kes meter baharu yang baru dipasang dan belum diaktifkan turut dicuri.
“Pada awalnya kita menyangka kejadian ini mungkin dilakukan oleh individu tertentu seperti kes kecurian besi tetapi apabila melihat coraknya, ia berlaku secara terancang dan berkumpulan,” katanya pada Majlis Penyerahan Malaysia Books of Records kepada SATU, di sini.
Abdul Karim berkata, pihaknya membuat beberapa laporan polis berhubung kejadian itu dan akan mengadakan pertemuan khas dengan Ketua Polis Terengganu bagi membincangkan langkah pencegahan serta tindakan lanjut.
“Kes ini bermula pada Julai lalu dan berlaku secara mengejut. Ada pengguna yang bangun pada waktu pagi mendapati meter air mereka sudah hilang. Di Kuala Terengganu dan Marang, kejadian berlaku seakan-akan serentak dan bukan terpencil. Malah, pencuri seperti memilih satu taman perumahan dan mencuri keseluruhan kawasan itu dalam satu malam,” katanya.
Menurutnya, walaupun kos sebuah meter air termasuk pemasangan kurang dari RM200 tetapi kerugian sebenar lebih besar kerana kecurian menyebabkan air mengalir keluar dan berlaku pembaziran.
Katanya, apabila meter dicuri, pencuri kebiasaannya tidak menutup bekalan air menyebabkan air terus mengalir sehingga disedari penduduk.
Sementara itu, seramai 35 kakitangan SATU mencipta rekod Malaysia Books of Records menerusi kategori Pendakian Berkumpulan Paling Ramai oleh Kakitangan Operator Air di Malaysia pada 22 dan 23 Julai lalu. – UTUSAN






