am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Polis Kelantan tidak menerima sebarang maklumat berhubung dakwaan beberapa penjenayah yang terbabit dalam kejadian tembakan dan serangan bom di Narathiwat pada 22 Julai lalu melarikan diri ke negara ini.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, lima anggota Renjer Tentera Thailand maut dalam satu serangan hendap di sebuah sekatan jalan raya di Jalan Raya Perbandaran Bu Ke Chami di sub-daerah Tanjong Mas, daerah Ra-ngae, wilayah Narathiwat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan sudah dibuat oleh pasukannya, namun tiada maklumat yang diterima malah pihaknya juga tidak menerima bantuan daripada pihak berkuasa Thailand untuk mengesan penjenayah terbabit.
“Kami pun ada SB (Cawangan Khas) buat siasatan, tak ada pun. Kalau ada, bagi la nama (penjenayah). (Setakat ini), tiada lagi minta bantuan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, enam orang awam cedera termasuk seorang budak lelaki berusia 10 tahun.
Tangkap layar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disiarkan di Facebook pihak berkuasa Narathiwat menunjukkan enam suspek berpakaian hitam menaiki pikap hitam pada jam 6.45 petang.
Catatan itu menyatakan suspek melarikan diri ke arah daerah jiran dan pihak berkuasa sudah menutup kawasan itu.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, dakwaan mengenai penjenayah akan melarikan diri ke Malaysia sering didengari memandangkan Kelantan adalah negeri yang bersempadan.
Sehubungan itu, tindakan beliau menutup pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand sejak Disember 2024 dianggap tepat kerana bukan sahaja untuk mengekang aktiviti penyeludupan tapi mengelakkan tuduhan itu.
“Sebab itu dari awal sampai sini (Kelantan), saya arahkan tutup sempadan kerana bukan hanya pengedaran dadah atau barangan kita masuk ke sana tidak bercukai tapi punca selalu dituduh macam ni.
“Asal tembak, meletup, kata (penjenayah) lari sini, sebab Kelantan negeri bersempadan dengan Thailand, tapi bukti tak ada,” katanya.
Terdahulu Mohd Yusoff hadir di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Tunjong, di sini, sempena Mesyuarat permuafakatan PDRM dan JPN, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






