Bursa dijangka dalam dagangan waspada minggu depan

Bursa dijangka dalam dagangan waspada minggu depan


KUALA LUMPUR – FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal kukuh dalam jajaran kecil antara 1,655 hingga 1,665 ketika pelabur mencerna Belanjawan Malaysia 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penyelidikan Pelaburan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian, Mohd Sedek Jantan berkata, langkah utama yang diumumkan termasuk sokongan bagi pemilikan rumah, dengan peruntukan untuk 57,000 pembeli rumah kali pertama di bawah skim Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan pelepasan cukai sehingga RM7,000 selama tiga tahun berturut-turut bagi pembeli kali pertama.

“Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada sektor hartanah dan pembinaan, bersama dengan rantaian bekalan mereka,” katanya kepada Bernama.

Walaupun butiran khusus tidak didedahkan sepenuhnya, beliau berkata, sektor teknologi juga dijangka mendapat keuntungan daripada pengumuman belanjawan kali ini khususnya, pengenalan insentif baharu yang tertumpu kepada aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu dan bahan termaju.

Langkah-langkah ini berkemungkinan besar memberikan momentum positif kepada sektor teknologi.

“Kami juga menjangkakan pelabur asing akan terus menyertai pasaran modal kerana kerajaan terus komited untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 4.3 peratus tahun ini dan 3.8 peratus tahun depan.

“Ini sejajar dengan matlamat Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Kewangan, yang menyasarkan defisit fiskal sebanyak 3.0 peratus serta hutang kerajaan di bawah 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK),” kata Mohd Sedek.

Memandangkan disiplin fiskal mengurangkan risiko yang berkaitan dengan hutang kerajaan, ia meminimumkan kos pinjaman termasuk akan mengukuhkan sistem perbankan, katanya lagi.

Oleh itu, sektor kewangan dijangka mendapat faedah daripada persekitaran fiskal yang bertambah baik ini, seterusnya, mewujudkan landskap yang lebih stabil bagi institusi kewangan .

Dari segi data ekonomi, anggaran pendahuluan KDNK bagi suku ketiga 2024 dijadualkan akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan pada hari Isnin, yang sepatutnya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

“Sempena ini, perdana menteri telah menyemak semula unjuran KDNK 2024 daripada jajaran 4.0 peratus hingga 5.0 peratus kepada 4.8 peratus hingga 5.3 peratus,” kata Mohd Sedek.

Di peringkat serantau, minggu hadapan mungkin lengang untuk China dari segi pengumuman data. Kadar utama pinjaman akan diumumkan pada Isnin nanti tetapi mungkin tiada kejutan, dengan pemotongan 20 mata asas diunjur sejajar dengan pengurangan kadar repo berbalik tujuh hari yang dibuat pada September lepas.

Bagaimanapun, data inflasi Tokyo mungkin menjadi tumpuan utama kerana ia boleh mempengaruhi dengan ketara tempoh langkah dasar monetari Bank of Japan yang seterusnya.

Bursa tempatan didagangkan kebanyakannya lebih tinggi pada minggu yang baru berakhir, menjejaki Wall Street, prestasi pasaran serantau dan pengumuman Belanjawan 2025.

Dari Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 12.44 mata kepada 1,645.99 berbanding 1,633.55 yang disaksikan semasa minggu sebelumnya.

Di seluruh papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas menambah 84.78 mata kepada 12,367.57, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 66.60 mata kepada 12,276.95, Indeks FBMT 100 memperoleh 88.72 mata kepada 12,067.57, Indeks FBM 70 melonjak 121.24 mata kepada 17,717.63 tetapi Indeks FBM ACE susut 27.97 mata kepada 5,120.80.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat sebanyak 0.35 mata kepada 176.42, Indeks Tenaga turun 27.57 mata kepada 854.53, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 290.28 mata kepada 19,468.56, manakala Indeks Perladangan menokok 72.12 mata kepada 7,273.53.

Jumlah dagangan menurun kepada 13.10 bilion unit bernilai RM12.87 bilion berbanding 14.17 bilion unit bernilai RM12.87 bilion yang dicatatkan pada minggu sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 6.88 bilion saham bernilai RM11.67 bilion daripada 8.01 bilion saham bernilai RM11. 67 bilion.

Perolehan waran berkembang kepada 4.08 bilion unit bernilai RM660.53 juta berbanding 3.88 bilion unit bernilai RM529.21 juta.

Manakala, volum Pasaran ACE susut kepada 2.12 bilion saham bernilai RM617.58 juta daripada 2.27 bilion saham bernilai RM656.80 juta sebelumnya. – BERNAMA

 



Source link

OR

Scroll to Top