firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perebutan kerusi nombor satu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dijangka berlaku pada Kongres Pemilihan September depan, disifatkan mampu membawa impak positif apabila setiap calon dijangka tampil dengan pelan terbaik demi kemajuan bola sepak negara.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, pertandingan itu akan mendorong setiap calon tampil dengan idea dan perancangan terbaik demi memenangi sokongan ahli gabungan.
Katanya, situasi itu bukan saja menyemarakkan amalan demokrasi dalam FAM, malah memberi keuntungan kepada semua pemegang taruh apabila setiap calon berlumba-lumba menawarkan pembaharuan untuk memajukan sukan itu.
“Kalau benar berlaku pertandingan, saya lihat ia sesuatu yang baik. Setiap calon sudah tentu akan tampil dengan pelbagai cadangan dan perancangan yang mampu membawa bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.
“Yang paling untung ialah FAM sendiri dan semua pemegang taruh kerana mereka dapat menilai tawaran terbaik daripada setiap calon sebelum membuat pilihan,” katanya kepada Arena Metro.
Menurut Zulakbal, fokus utama mana-mana calon bukan sekadar menguruskan bola sepak, sebaliknya perlu mempunyai pelan jelas untuk membangunkan sukan itu dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.
“Calon A perlu jelaskan apa yang dia boleh lakukan jika dipilih. Begitu juga calon B, mereka perlu bersaing dari segi idea dan bukan sekadar merebut jawatan.
“Sebagai contoh, ada calon mungkin mahu membawa cadangan kepada kerajaan supaya Malaysia mempunyai pelan jangka panjang untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia atau menghantar pasukan penyelidik mengkaji kejayaan negara seperti Maghribi membangunkan bola sepak mereka.
“Semua idea itu boleh dijadikan asas kepada pelan pembangunan bola sepak negara mengikut acuan Malaysia,” katanya.
Zulakbal berkata, jika pertandingan itu menjadi kenyataan, ia akan menghidupkan semula saingan merebut jawatan nombor satu FAM selepas kali terakhir menyaksikan pertandingan pada pemilihan 2014.
“Sudah lebih 10 tahun jawatan Presiden FAM tidak dipertandingkan.
“Jadi jika kali ini ada pertandingan, saya mengalu-alukannya kerana ia akan menyemarakkan lagi demokrasi dalam pemilihan badan induk bola sepak negara.
“Apabila ada pertandingan, calon akan berlumba-lumba menawarkan yang terbaik kepada FAM. Akhirnya, yang mendapat manfaat ialah bola sepak Malaysia,” katanya.
Menerusi laporan Arena Metro semalam, difahamkan kerusi nombor satu Wisma FAM berkemungkinan menyaksikan saingan dua calon selepas tempoh penghantaran pencalonan ditutup Ahad lalu.
Perkembangan itu membuka peluang untuk pertandingan bagi merebut jawatan nombor satu FAM selepas beberapa penggal menyaksikan penyandang menang tanpa bertanding.
Untuk rekod, kali terakhir jawatan presiden FAM dipertandingkan adalah pada Kongres Pemilihan 2014 apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengatasi Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dalam saingan merebut jawatan tertinggi badan induk itu.
Selepas itu, jawatan presiden FAM tidak lagi dipertandingkan apabila penyandang atau calon yang dicalonkan menang tanpa bertanding dalam beberapa siri pemilihan berikutnya.
Antara yang pernah mengisi jawatan Presiden tanpa dicabar ialah Tunku Ismail (2017-2018), diikuti Tan Sri Hamidin Mohd Amin (2018-2025) dan Datuk Joehari Ayub (Februari 2025-Ogos 2025).
© New Straits Times Press (M) Bhd






