Akta 672 dikuat kuasa atasi pencemaran Pulau Redang

Akta 672 dikuat kuasa atasi pencemaran Pulau Redang


KUALA LUMPUR: Terengganu akan melaksana Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang tertangguh hampir 20 tahun, bagi mengatasi isu pengurusan sampah dan pencemaran marin di Pulau Redang.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Batu Rakit, Mohd. Sha­fizi Ismail berkata, usaha sedang dalam peringkat akhir untuk meratifikasikan akta itu yang diakui boleh memperkemas kutipan dan pelupusan sisa pepejal.

Katanya, ia termasuk membantu mengurangkan pencemaran laut, memperkukuh amalan kitar semula dan menyokong pem­bangunan ekonomi hijau dalam kalangan komuniti setempat.

“Keindahan Pulau Redang me­­rupakan aset yang amat ber­nilai kepada Terengganu. Namun, isu pencemaran sisa marin termasuk plastik dan pukat hantu yang semakin membimbangkan memerlukan tindakan lebih menyeluruh serta berterusan.

“Kerajaan negeri kini berada pa­da peringkat akhir untuk meng­guna pakai akta ini bagi memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal secara lebih berkesan dan mampan, sekali gus memberi impak jangka pan­jang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar,” katanya ditemui baru-baru ini.

Beliau ditemui ketika program Sukarelawan Antarabangsa Dive Against Debris, Pembersihan Pantai dan Pendidikan Alam Sekitar di Pantai Teluk Dalam, Pulau Redang.

Akta 672 adalah undang-undang untuk mengawal selia pengurusan sisa pepe­jal terkawal, menetapkan per­khidmatan pembersihan awam yang seragam dan dikuatkuasakan oleh Perbada­nan Pe­ngurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di negeri-negeri yang menerima­nya.

Pada masa ini, lima negeri belum menerima akta itu iaitu Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Selangor dan Terengganu.

Mingguan Malaysia melalui laporan bertajuk ‘Neraka sampah di pulau peranginan’ mendedahkan situasi di Kampung Baru Pulau Redang yang menjadi lubuk pelbagai sampah termasuk dari negara luar di dasar dan pesisir laut.

Susulan itu, Majlis Banda­raya Kuala Terengganu (MB­KT) mula membersihkan sampah di pulau berkenaan menggunakan dua buat bot yang mampu mengangkat kira-kira 12 tan metrik muatan setiap hari.

MOHD. SHAFIZI ISMAIL

Mohd. Shafizi berkata, pelaksanaan akta akan men­jadi anjakan dalam memastikan sisa pepejal diurus secara lebih sistematik bermula daripada punca ia berlaku.

“Bagi Pulau Redang khususnya, sisa daripada pusat peranginan, premis perniagaan dan kawasan perkampungan akan diurus serta diasingkan dengan lebih teratur.

“Kesannya, kita bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran dan limpahan sampah ke ekosistem marin, malah mewujudkan peluang ekonomi hijau kepada komuniti setempat melalui amalan kitar semula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, usaha pembersihan semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disokong dengan sistem pe­ngurusan sisa yang mantap di peringkat nege­ri.

Katanya, data yang diperoleh bukan sahaja membantu membersihkan kawasan perairan, malah menyediakan maklumat saintifik mengenai jenis, kuantiti dan lokasi sisa marin yang boleh dijadikan asas kepada perancangan dasar ser­ta tindakan penguatkuasaan pada masa hadapan.

“Data itu akan dibentangkan kepada kerajaan negeri dan agensi berkaitan supaya langkah susulan dapat diambil de­ngan lebih tepat dan berkesan.

“Maklumat ini juga akan disalurkan kepada pangkalan data global Padi Aware Foundation dan Jabatan Perikanan bagi menyokong usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG 13 iaitu Tindakan Iklim dan SDG 14 mengenai Kehidupan di Bawah Air,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, statistik yang direkodkan se­panjang tiga hari program di Pulau Redang menunjukkan isu pencemaran marin masih memerlukan perhatian serius.

“Statistik yang dikumpulkan membuktikan pencemaran marin masih berada pada tahap yang memerlukan tin­dakan berterusan. Sebab itu kerajaan negeri melihat ke­perluan untuk memperkukuh aspek pengurusan sisa melalui pelaksanaan Akta 672,” kata­nya.

Jelasnya lagi, usaha memelihara alam sekitar tidak boleh dipikul kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan masyarakat.

FAKTA
» Akta 672 ialah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, yang menyeragamkan kawalan sampah dan kebersihan awam.

» Dikuatkuasakan SWCorp di negeri-negeri yang menerima pakai.

» Hukuman melibatkan denda berat, penjara, atau perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan membuang sampah haram.

» Diguna pakai di beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, serta Wilayah Persekutuan, manakala sebahagian negeri lain dalam fasa persediaan. – UTUSAN

The post Akta 672 dikuat kuasa atasi pencemaran Pulau Redang appeared first on Utusan Malaysia.



Source link

OR

Scroll to Top