Polis tahan puluhan individu sokong Palestine Action di London

Polis tahan puluhan individu sokong Palestine Action di London

Polis tahan puluhan individu sokong Palestine Action di London


LONDON: Polis Britain menahan 77 individu selepas orang ramai berkumpul di luar sebuah mahkamah di London bagi menyuarakan sokongan terhadap kumpulan Palestine Action yang dikategorikan sebagai organisasi pengganas di United Kingdom (UK).

Perhimpunan di luar Mahkamah Majistret Westminster pada Khamis itu dianjurkan oleh kumpulan aktivis Defend Our Juries bagi membantah permulaan perbicaraan terhadap individu pertama daripada ribuan yang dituduh menyuarakan sokongan kepada Palestine Action.

Kumpulan Defend Our Juries menegaskan bahawa tujuannya adalah bagi memelihara proses undang-undang di UK. 

Bagaimanapun, pengkritik menuduh kerajaan cuba menyekat kebebasan awam demi melindungi Israel daripada kesan perang genosid yang dilancarkannya di Gaza sejak hampir tiga tahun lalu.

“Menyuarakan sokongan terhadap Palestine Action merupakan satu kesalahan di bawah Akta Keganasan. 

“Pegawai polis telah mula membuat penahanan,” kata Polis Metropolitans London menerusi satu hantaran di platform X.

Beberapa keping gambar yang dimuat naik dalam talian memaparkan puluhan individu berkumpul di luar mahkamah yang terletak di pusat bandar London itu.

Dalam hantaran di X, Defend Our Juries memberitahu bahawa ratusan orang berada di luar Mahkamah Majistret Westminster semalam untuk menegaskan bahawa ini bukanlah tindakan keganasan. 

Bagaimanapun, jumlah sebenar kehadiran masih belum disahkan.

Sebilangan penunjuk perasaan turut mengibarkan bendera Palestin bagi menyokong penduduk di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, yang kini turut berdepan peningkatan gelombang keganasan oleh peneroka haram Israel di bawah perlindungan tentera. – AGENSI

 



Source link

OR

Scroll to Top