KETUA jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu para pemainnya agar turun dengan mentaliti positif dan keyakinan tinggi menjelang pertemuan penting menentang Thailand dalam saingan Piala ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala malam ini.
Meskipun mengakui beraksi di stadium keramat lawan bukanlah satu tugas yang mudah, Cheng Hoe percaya skuad negara mampu memberikan saingan sengit sekiranya mengikut perancangan dengan betul.
“Sudah tentu agak sukar untuk beraksi di Stadium Rajamangala dan mereka mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Apa yang penting, kita kena turun dengan keyakinan dan mindset positif yang boleh memberi kekuatan untuk menentang Thailand, walaupun mereka mungkin tidak menurunkan barisan terbaik mereka kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga enggan terlalu selesa dengan rekod cemerlang yang pernah dicatatkannya ketika membimbing Harimau Mslaya menentang gergasi Asia Tenggara itu sebelum ini.
Cheng Hoe
“Memang saya ada rekod yang baik menentang Thailand sebelum ini tetapi sebagai jurulatih, saya perlu bersedia sebaik mungkin untuk perlawanan ini.
“Dalam bola sepak, kadang-kadang walaupun memiliki pemain terbaik, ia bukan jaminan untuk meraih kemenangan.
“Dengan mindset yang positif, gabungan pemain berpengalaman serta keghairahan pemain-pemain muda yang dahagakan aksi di pentas ini, perlawanan ini merupakan satu ujian terbaik buat skuad negara,” ujarnya.
Malaysia kini menerajui Kumpulan B dengan enam mata selepas kemenangan ke atas Myanmar dan Laos.
Selepas aksi di Rajamangala, Harimau Malaya akan mengakhiri kempen Kumpulan B dengan melayan kunjungan Filipina di Cheras pada 8 Ogos.
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir.






