Petaling Jaya: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1.3 bilion tahun ini, sekali gus meneruskan usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial umat Islam menerusi agihan yang menyeluruh kepada golongan asnaf.
Pengerusinya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, berkata sasaran itu disandarkan kepada prestasi kutipan memberangsangkan, selain keyakinan terhadap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi untuk menunaikan tanggungjawab berzakat.
Beliau berkata, pada tahun lalu MAIWP merekodkan kutipan zakat sebanyak RM1.243 bilion, manakala jumlah agihan yang disalurkan melebihi RM1.28 bilion, membuktikan komitmen institusi itu mengutamakan kebajikan golongan memerlukan.
“Insya-Allah, berdasarkan prestasi semasa dan perkembangan yang memberangsangkan, kami yakin serta berharap sasaran kutipan RM1.3 bilion dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.
“Pada masa sama, jumlah agihan yang disalurkan sebelum ini adalah lebih tinggi daripada kutipan bagi memastikan kebajikan serta keperluan asnaf terus terbela,” katanya kepada media selepas Program Santai Boling MAIWP Bersama Media 2026 di sini, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Is. Mohd Nizam Yahya serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mohd Fauzi Abidin.
Program Santai Boling MAIWP Bersama Media 2026 dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada rakan media.
Program Santai Boling MAIWP Bersama Media 2026 dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada rakan media yang sentiasa menyokong usaha penyampaian maklumat serta agenda pembangunan ummah.
Program itu menghimpunkan wakil daripada pelbagai organisasi media termasuk IKIMfm, Malaysia Gazette, Berita Harian, New Straits Times (NST), Media Prima Omnia Sdn Bhd, Utusan Malaysia, BERNAMA, Harian Metro, TV AlHijrah, Bahagian Pemberitaan dan Perkhidmatan (BPP) RTM serta Siakap Keli, selain penyertaan wakil anak syarikat MAIWP dan Ketua Unit Komunikasi Korporat agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Peranan media sampai info

Syed Kamarulzaman berkata, kejayaan meningkatkan kutipan zakat bukan hanya bergantung kepada kesedaran pembayar zakat, malah turut disokong peranan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat mengenai fungsi serta impak agihan zakat kepada masyarakat.
Katanya, masih ramai yang ingin mengetahui bagaimana wang zakat yang ditunaikan dimanfaatkan dan media memainkan peranan penting dalam menjelaskan perkara itu kepada orang ramai.
“Kami amat menghargai peranan media dalam membantu MAIWP menyampaikan pelbagai aktiviti serta usaha yang dilaksanakan, termasuk membantu golongan asnaf, selain aktiviti kutipan dan agihan zakat.
“Perkara ini penting supaya masyarakat mengetahui dengan lebih jelas apakah yang dilaksanakan oleh MAIWP, khususnya dari segi kutipan zakat dan ke mana wang zakat yang mereka tunaikan disalurkan.
“Apabila masyarakat melihat sendiri manfaat dan impak hasil sumbangan zakat, keyakinan mereka terhadap institusi zakat terus diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata, hubungan erat antara MAIWP dan media perlu terus diperkasa bagi memastikan maklumat berkaitan pelbagai inisiatif kebajikan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi dapat disampaikan secara lebih meluas serta berkesan.
“Justeru, kami berharap peranan dimainkan pihak media yang amat kami sanjungi dan hargai, akan dapat diteruskan.
Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kerjasama diberikan selama ini.
“Mudah-mudahan hubungan baik antara MAIWP dan agensi media akan terus diperkukuhkan pada masa-masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, mengulas sambutan masyarakat terhadap amalan wakaf, Syed Kamarulzaman berkata, ia menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai memahami kepentingannya sebagai amal jariah yang berterusan.
Katanya, MAIWP kini menyediakan kemudahan wakaf tunai yang membolehkan masyarakat menyumbang bukan sahaja melalui perwakafan aset seperti tanah atau bangunan, malah menerusi sumbangan wang tunai termasuk potongan gaji secara bulanan.
“Kaedah ini memudahkan lebih ramai masyarakat menyertai amalan wakaf mengikut kemampuan masing-masing, sekali gus memperluaskan penyertaan umat Islam dalam usaha pembangunan ummah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






