RIO DE JANEIRO: Pegawai Amerika Syarikat (AS) dikritik selepas tersilap melabel beberapa negara Afrika dalam peta yang dipaparkan ketika persidangan kesihatan utama di Brazil, sebelum Jabatan Negara mengakui kesilapan berkenaan.
Kesilapan itu menjadi tular selepas peserta persidangan AIDS 2026 di Rio de Janeiro awal minggu ini merakam video dan tangkap layar peta Afrika yang tidak tepat tersebut, sebelum dikongsi dalam talian dan menerima ribuan tontonan serta kritikan pengguna media sosial.
Rakaman video yang diteliti Reuters menunjukkan peta berkenaan dipaparkan ketika pembentangan mengenai perjanjian kesihatan kontroversi AS bersama negara-negara Afrika, susulan pemotongan bantuan oleh pentadbiran Trump yang memberi kesan kepada program bantuan antarabangsa.
Peta itu secara salah meletakkan Nigeria di kawasan Sahara, manakala Mozambique yang terletak di tenggara Afrika dipaparkan di kawasan Tanduk Afrika. Ivory Coast yang berada di Afrika Barat pula diletakkan di bahagian bertentangan benua tersebut.
Persempadanan negara dalam peta berkenaan turut digambarkan secara salah dan tidak menyerupai sempadan mana-mana negara sebenar.
Wakil kesihatan tertinggi AS, Jeff Graham, yang mengetuai Pelan Kecemasan Presiden untuk Bantuan AIDS (PEPFAR), merupakan individu yang berucap pada persidangan berkenaan.
Berdasarkan profil Jabatan Negara AS, beliau pernah berkhidmat di Ghana dan Ethiopia.
Reuters mendapati peta tersebut mempunyai tanda air yang menunjukkan ia berkemungkinan dihasilkan menggunakan alat OpenAI.
Jabatan Negara AS mengakui berlaku kesilapan yang tidak disengajakan berhubung peta tersebut.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata peta berkenaan disediakan oleh seorang anggota pasukan yang tergesa-gesa mengubah suai slaid sebelum acara berlangsung.
“Kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekeliruan dan gambaran tidak tepat yang ditimbulkan kepada peserta, termasuk rakan kongsi kami di Afrika,” menurut kenyataan itu.- AL JAZEERA






