Tin lama hidup nostalgia zaman kanak-kanak

Tin lama hidup nostalgia zaman kanak-kanak

Tin lama hidup nostalgia zaman kanak-kanak


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bermula sekadar hobi mengumpul tin lama ketika ‘hunting’ barangan terpakai, kini kediaman Nurul A’in Jaapar, 32, bertukar menjadi ‘galeri mini’ yang dipenuhi pelbagai koleksi nostalgia daripada jenama terkenal.

A’in berkata, minat itu bermula secara tidak sengaja apabila dia tertarik melihat reka bentuk tin lama yang mengingatkannya kepada zaman kanak-kanak.

“Bila tengok tin lama ini, saya terus teringat macam mana perubahan pembungkusan sesuatu jenama dari zaman kecil sampai sekarang.

“Daripada situ saya mula simpan sedikit demi sedikit sebab rasa sayang nak buang,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, koleksi itu semakin bertambah setiap kali dia keluar mencari barangan bundle sehingga hampir memenuhi ruang rumahnya.

Katanya, antara koleksi paling sukar diperoleh ialah tin Kellogg’s yang dianggap rare dalam kalangan pengumpul.

“Saya siap pesan kepada pemilik kedai bundle supaya simpan kalau ada stok baru masuk. Kadang-kadang kena tunggu lama juga baru jumpa,” katanya.

Menurut A’in, tin Milo pula menjadi koleksi paling sentimental kerana dia membesar dengan minuman berkenaan selain dapat melihat perubahan reka bentuk pembungkusannya dari semasa ke semasa.

“Milo ini memang dekat dengan zaman kecil saya. Sebab itu bila tengok tin lama dia, rasa macam imbas balik kenangan lama,” katanya.

Beliau berkata, hobinya bukan sekadar mengumpul barangan lama, sebaliknya menyimpan memori dan nostalgia terhadap sesuatu jenama yang pernah popular suatu ketika dahulu.

“Hobi ini lebih kepada kepuasan diri. Saya tak pernah terfikir nak jual semula koleksi yang ada sekarang,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada ahli keluarga yang pada awalnya mempersoalkan hobinya kerana memenuhi ruang rumah, mereka akhirnya turut teruja apabila bersama-sama mencari barangan bundle.

“Bila bawa keluarga pergi hunting, semua jadi seronok tengok macam-macam barang lama. Sekarang rumah memang penuh rak dengan koleksi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top