Slot puji pertahanan Liverpool

Slot puji pertahanan Liverpool


Liverpool, England: Arne Slot meneruskan prestasi cemerlang sebagai pengurus Liverpool selepas menewaskan Chelsea 2-1 awal pagi tadi sekali gus kemenangan ke-10 mereka daripada 11 perlawanan dalam semua kejohanan.

Pengendali dari Belanda itu memuji ketangkasan barisan pertahanannya yang menjadi nadi kemenangan ke atas Chelsea untuk membolehkan mereka kekal selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Kami bertahan sangat kuat sebagai satu pasukan dan mempamerkan kerjasama mengagumkan,” kata Slot.

Pemainnya hanya melepaskan tiga gol dalam saingan liga musim ini dan kekal di puncak dengan 21 mata selepas lapan perlawanan, satu mata mengatasi juara bertahan Manchester City manakala Chelsea di tangga keenam selepas mengumpul 14 mata.

Bekas pertahanan England yang kini pengulas sukan Micah Richards berkata, Slot membawa aspek ketenangan.

“Pertahanan Liverpool tampak lebih kuat. Di bawah Juergen Klopp, mereka seronok dilihat tetapi sebagai pertahanan, anda boleh terdedah,” kata Richards kepada Sky Sports.

“Jangka masa pertahanan kembali ke bawah dan naik ke atas lebih seimbang.”

Namun, Slot tetap belum mahu mendabik dada pada awal musim dengan berkata, mereka belum menentang pasukan berada di kelompok teratas liga.

“Lebih kuat pasukan anda hadapi, lebih kuat perjuangan anda,” katanya. “Di Liga Perdana, ada banyak pasukan kuat dan jika mahu menang, anda perlu berjuang segagah mungkin dan mengelakkkan kesilapan sambil mengharapkan ada pemain yang boleh membuat perbezaan.

“Ia sangat membantu ketika menentang pasukan seperti Chelsea. Ia perlawanan besar dan semua orang termasuk penonton merasakannya. Tapi kami akhirnya menang, itu yang paling penting.”

Pengurus Blues, Enzo Maresca tetap berpuas hati walaupun tewas di Anfield.

“Kami tak suka kalah atau tercicir mata. Kami berhak dapat keputusan lebih bagus kerana prestasi kami lebih baik. Kami kuasai perlawanan, cipta peluang dan dominasi kawalan bola.

“Saya tak fikir perlawanan ini menunjukkan di mana kami berada. Kami bersiap dengan cara terbaik dan ia tampak berhasil. Anda perlu memanfaatkan peluang tetapi keseluruhannya saya gembira dengan pemain.”

Dalam perlawanan di Anfield itu, gol Liverpool diperoleh menerusi penalti Mohamed Salah dan Curtis Jones manakala Nicolas Jackson menjaringkan gol Chelsea.

Kekalahan itu yang pertama buat skuad Maresca dalam aksi liga sejak tewas di tangan Manchester City pada minggu pembukaan musim manakala Liverpool berdepan satu lagi misi getir apabila berdepan Arsenal di Emirates hujung minggu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top