Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kes pecah amanah atau salah tadbir membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya benar terdapat individu atau kumpulan yang terbabit dalam penyelewengan atau salah tadbir dalam organisasi kerajaan serta badan berkanun, mereka perlu bertanggungjawab atas perbuatan berkenaan.
“Maka akibatnya akan dihadapi mereka dan saya tidak fikir kita harus berkompromi jika unsur-unsur yang negatif itu dilakukan oleh mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Tabung Haji.
Terdahulu, sesi persidangan khas bagi membahaskan dapatan Laporan RCI mengenai TH dijadualkan berlangsung pada 11 Ogos.
Artikel lain: Zahid jawab dakwaan campur tangan luar dalam lantikan MB, enggan layan ‘kenyanyukan seseorang’

Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu mencadangkan supaya audit forensik dijalankan bagi meneliti proses membuat keputusan pelaburan terdahulu yang didakwa menyebabkan TH berdepan penurunan nilai aset yang ketara.
RCI yang menyiasat isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 itu turut mendapati wujud transaksi mencurigakan serta penyembunyian maklumat.






