AUKU dimansuh sepenuhnya, tiada undang-undang baharu kongkong Mahasiswa -PM Anwar


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tidak akan disusuli dengan pengenalan undang-undang baharu yang mengongkong atau menyekat kebebasan mahasiswa.

Langkah pastikan mahasiswa nikmati kebebasan

Memetik laporan daripada Sinar Harian, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan  langkah itu penting bagi memastikan mahasiswa dapat menikmati kebebasan untuk menjalankan kegiatan di kampus tanpa sekatan yang tidak wajar.

“Kita sudah setuju tentang pemansuhan AUKU. Saya hendak jelaskan bahawa saya tidak mahu pindaan, AUKU wajib dimansuhkan sepenuhnya.
“Ada kebimbangan apabila AUKU dibatalkan, undang-undang baharu akan diperkenalkan yang turut mengongkong atau menyekat.
“Saya tidak akan benarkan mana-mana peraturan atau undang-undang gantian yang mengongkong kegiatan mahasiswa,” katanya ketika ucapan penggulungan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Ahad.

Tapi tak bermaksud longgarkan peraturan tatatertib

Dalam pada itu, Anwar berkata undang-undang jenayah dan peraturan tatatertib sedia ada sudah memadai untuk dikenakan terhadap mahasiswa selepas AUKU dimansuhkan.

“Saya tidak bermaksud untuk melonggarkan peraturan tatatertib atau undang-undang jenayah sedia ada, tetapi undang-undang khas bagi mahasiswa seperti AUKU tidak wajar diteruskan.
“Saya akan tegaskan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri bahawa saya tidak bersetuju dengan apa-apa pindaan atau akta penggantian yang mengekang kegiatan mahasiswa,” katanya.

Pada Sabtu, Anwar memaklumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU dan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.

Sumber: Sinar Harian (Norafiza Jaafar)





Source link

OR

Scroll to Top