Rakyat Malaysia diseru bersama-sama hadir ke Majlis Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan Tahun 2026 yang akan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, majlis berkenaan merupakan antara usaha kerajaan untuk menzahirkan hasrat dan harapan pimpinan tertinggi Kerajaan MADANI berkaitan kepentingan menghayati semangat kemerdekaan.
Foto arkib: Bernama
Menurutnya, ia turut menjadi platform bagi menyemai dan memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
“Ayuh bersama-sama ke Majlis Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan Tahun 2026 yang akan disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri pada 30 Ogos 2026, jam 9.30 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
“Majlis amanat ini diadakan sebagai satu daripada usaha untuk menzahirkan hasrat dan harapan pimpinan tertinggi Kerajaan MADANI mengenai kepentingan menghayati semangat kemerdekaan serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Foto arkib: AP Photo
Aaron berkata, semangat kebersamaan perlu terus diperkukuh dengan mengamalkan sikap saling memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian yang menjadi kekuatan masyarakat Malaysia.
