Bidin semangat sambut merdeka, keluar RM500 beli bendera

Bidin semangat sambut merdeka, keluar RM500 beli bendera


JERANTUT: Keterbatasan fizikal bukan penghalang bagi warga emas orang kurang upaya (OKU), Bidin Ariffin, 71, menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan membantu menceriakan halaman rumah­nya dengan kibaran Jalur Gemilang.

Bidin yang mengalami kecacatan kedua-dua kaki sejak lahir hanya mampu mengesot, namun tetap bersemangat membantu anak saudaranya, Noor Izam Ahmad, 53, dan isterinya, Sharifah Mas ‘Aza Mohamad, 45, memasang hampir 600 bendera Malaysia sejak dua minggu lalu.

Halaman rumah mereka turut dihiasi banting besar memaparkan rumah asal peneroka, landskap bunga-bungaan, peralatan tradisional dan tokoh negarawan sebagai gambaran sejarah 60 tahun komuniti peneroka di kawasan berkenaan.

Noor Izam berkata, kehadiran bapa saudaranya memberikan dorongan moral luar biasa kepada mereka sekeluarga.

“Bidin terpaksa dipapah keluar dan dinaikkan ke kerusi roda untuk membantu kami memasang bendera dan menceriakan halaman rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, Bidin banyak menghabiskan masa pada sebelah petang dan hujung minggu membantu menyiapkan persiapan sambutan.

Katanya, meskipun hanya beberapa hari bersekolah ketika kecil akibat keadaan fizikal, Bidin memahami erti kemerdekaan dan sentiasa bersemangat setiap kali menjelang 31 Ogos.

Sementara itu, Sharifah Mas ‘Aza berkata, konsep hiasan rumah berasaskan sejarah, budaya peneroka dan tumbuhan berbunga.

“Kami membelanjakan kira-kira RM500 untuk bendera, banting, kerja mengecat dan bahan hiasan,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top