JPA yakin seluruh penjawat awam pilih opsyen SSPA

JPA yakin seluruh penjawat awam pilih opsyen SSPA


PUTRAJAYA: Jabatan Perkhid­matan Awam (JPA) percaya dan yakin keseluruhan 1.4 juta penjawat awam akan menandatangani opsyen Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula semalam hingga 30 November ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pihaknya menjangka ramai penjawat awam akan menandatangani SSPA ini berdasarkan sesi libat urus sebelum ini yang dilihat teruja untuk memilih opsyen itu.

“Kalau yang tak nak itu (tidak mahu memilih SSPA) sebenarnya pilihan masing-masing. Boleh nak dan boleh tak nak. Cuma mereka yang tidak berpindah daripada Skim Saraan Malaysia (SSM) ke SSPA, maka tidak akan ada pelarasan gaji.

“Tempoh 40 hari itu adalah untuk memberi ruang kepada penjawat awam untuk meneliti sepenuhnya sebelum mereka memilih untuk berpindah kepada SSPA,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis menandatangani opsyen SSPA di sini, semalam.

Seramai 75 kakitangan dan pegawai pelbagai jawatan JPA menandatangani opsyen SSPA pada majlis simbolik berkenaan.

Wan Ahmad Dahlan percaya setiap jabatan dan kementerian mengadakan sesi libat urus dengan warga masing-masing mengenai SSPA berkenaan yang memberikan penjelasan sepenuhnya mengenai sistem saraan baharu itu.

Menurutnya, SSPA ini sebenarnya memberi manfaat sangat besar kepada penjawat awam kerana selain pelarasan gaji, ia juga menekankan kepada kepada pembangunan modal insan dan laluan kerjaya.

“Sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, saya tidak teragak-agak untuk menandatangani opsyen ini kerana memang ia memberi sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top