Paris: Alexander Zverev memulakan kempen Paris Mastersnya dengan kemenangan meyakinkan 7-6(2) 6-3 ke atas Tallon Griekspoor sementara pilihan keempat dari Rusia, Daniil Medvedev, tersingkir selepas tewas 4-6, 2-6, 6(4)-7 kepada Alexei Popyrin.
Pilihan ketiga, Zverev berada dalam prestasi terbaik menentang pemain Belanda itu apabila hanya melakukan sembilan kesilapan tidak sepatutnya dan menyempurnakan 86 peratus servis pertamanya dalam pertemuan 92 minit itu.
“Salah satu gelanggang terpantas yang pernah saya mainkan. Saya terpaksa mencari rentak pada awalnya tetapi gembira dapat mengatasi cabaran ini di akhirnya,” kata pemain Jerman itu yang menjadi pemain keempat yang melangkah ke pusingan 16 di semua sembilan ATP Masters 1000 dalam satu musim.
Bekas juara Terbuka AS, Medvedev, yang tersingkir dengan kontroversi pada peringkat yang sama tahun lalu selepas melakukan isyarat lucah kepada orang ramai, gagal melangkah lebih jauh apabila Popyrin dari Australia mengatasi kemerosotan pemain di di set kedua untuk mara ke pusingan seterusnya.
Ia juga malam yang mengecewakan bagi pemain Amerika, Taylor Fritz dan Ben Shelton, yang turut tersingkir daripada kejohanan itu.
Pilihan kelima, Fritz tewas dalam perlawanan sengit kepada Jack Draper dari Britain 7-6(6) 4-6 6-4, manakala Shelton tewas 6-3 7-6(4) kepada pemain Perancis, Arthur Cazaux, yang menyertai kejohanan selepas Jannik Sinner menarik diri.
Dalam perlawanan sebelum itu, pilihan kesembilan, Alex de Minaur dari Australia, mengalahkan Miomir Kecmanovic dari Serbia dengan keputusan 6-4 7-6(5), sementara pilihan ke-13, Holger Rune dari Denmark, meneruskan rentak dengan kemenangan selesa 6-4 6-2 ke atas Alexander Bublik dari Kazakhstan.
© New Straits Times Press (M) Bhd