Emas Erry, dua final boling padang ceriakan kontinjen negara

Emas Erry, dua final boling padang ceriakan kontinjen negara


KEJAYAAN jaguh angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat menghadiahkan pingat emas ketiga kontinjen Malaysia, disusuli kemaraan dua wakil boling padang ke pentas final terus menyemarakkan kempen negara pada hari kelima Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Erry mencuri tumpuan apabila menjuarai kategori 79 kilogram (kg) lelaki menerusi angkatan keseluruhan 331kg, sekali gus meraih emas sulung di pentas Sukan Komanwel selepas membawa pulang perak dalam kategori 73kg pada edisi Birmingham 2022.

Atlet berusia 26 tahun itu melakukan angkatan 147kg dalam snatch dan 184kg bagi clean and jerk, dengan catatan clean and jerk serta jumlah keseluruhan itu turut memperbaharui rekod temasya pada saingan di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.

Kejayaan itu turut melengkapkan legasi keluarga apabila Erry mengikut jejak bapanya, Hidayat Hamidon yang memenangi emas angkat berat pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Emas diraih Erry adalah yang ketiga buat kontinjen negara selepas Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin masing-masing muncul juara kategori 60kg dan 65kg lelaki pada Ahad.

Sementara itu, kem boling padang turut menghadiahkan khabar gembira apabila pemain perseorangan lelaki, Izzat Shameer Dzulkeple serta gandingan beregu wanita, Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman, masing-masing mengesahkan tempat ke final.

Izzat Shameer akan berdepan wakil England, Sam Tolchard, manakala Aleena-Syafiqa turut dijadual menentang pasangan England, Amy Pharaoh-Sian Honnor dalam usaha memburu dua lagi pingat emas esok.

Dalam acara bola keranjang 3×3 lelaki, skuad negara turut mencipta sejarah apabila mara ke suku akhir pada penampilan sulung di Sukan Komanwel selepas menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua.

Malaysia yang dibarisi Chang Zi Fueng, Chong Zhen Yang, Ting Chun Hong dan Ooi Xian Fu menewaskan Jamaica 21-15 dalam aksi terakhir kumpulan selepas turut mencatat kemenangan ke atas Fiji, Kenya dan Singapura, selain tewas tipis 19-21 kepada juara bertahan, England.

Skuad negara akan menentang tuan rumah, Scotland pada aksi suku akhir esok dengan pemenang bakal membuat perhitungan dengan Australia di separuh akhir.

Di kolam renang, perenang para negara, Abdul Halim Mohammad menamatkan saingan final 100 meter kuak dada lelaki SB9 di tempat keenam selepas mencatat masa satu minit 16.41 saat.

Tumpuan kontinjen negara esok bakal terarah kepada jaguh lompat jauh para, Datuk Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 lelaki, selain dua final boling padang yang berpotensi membantu Malaysia mencapai sasaran lima pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.

Malaysia kini mengumpul tiga pingat emas dan dua gangsa untuk menghuni tangga ketujuh carta pungutan pingat, manakala juara bertahan Australia kekal mendahului dengan 26 emas, 13 perak dan 20 gangsa, diikuti England (lapan emas, 13 perak, 11 gangsa) serta Kanada (tujuh emas, lapan perak, enam gangsa).



Source link

OR

Scroll to Top