'Kasi' meriah stadium merdeka

'Kasi' meriah stadium merdeka


VENUE yang cukup ikonik dalam negara dan antarabangsa kembali menjadi perhatian ramai.

Stadium Merdeka Kuala Lumpur tentu menjadi sebahagian daripada sejarah penting pembangunan, sekali gus mengimbau nostalgia unik negara.

Kini selepas menjalani proses penambahbaikan dan peningkatan kemudahan dengan mengekalkan daya tarikan sejarah, stadium yang pernah menjadi tempat berlangsung konsert ramai bintang antarabangsa kembali membuka pintu kepada orang ramai mulai 17 Ogos lalu.

Dengan kekayaan warisan dan infrastruktur yang dikukuhkan semula, Stadium Merdeka menjanjikan lokasi yang baik untuk persembahan.

Lantas, Warner Music Malaysia memilih menganjurkan Festival Muzik Futureland pada 23 November ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, projek pemulihan Stadium Merdeka sejak 2016 adalah bagi memberi akses lebih baik kepada rakyat Malaysia.

“Pada 1957 atas tanah yang sama ini, Perdana Menteri pertama kita, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan Tanah Melayu bebas daripada pemerintahan British.

“Ia adalah detik penuh kebanggaan dan pengharapan bagi seluruh anak bangsa. Kita menghormati legasi mereka yang sudah berjuang untuk kemerdekaan dan yang menyumbang kepada kemajuan negara kita.

“Saya berterima kasih kepada Warner Music Malaysia kerana memilih Stadium Merdeka sebagai lokasi bagi Festival Muzik Futureland.

“Festival ini bakal jadi salah satu peristiwa bersejarah kerana ia adalah acara pertama di sini sejak pemulihan Stadium Merdeka,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Dinesh Ratnam; Pengarah Urusan Watsons Malaysia dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Health & Beauty Asia, Caryn Loh; selain selebriti yang bakal menjayakan acara itu.

Menurut Nie Ching lagi, Festival Muzik Futureland adalah bukti kepada tarikan berterusan Stadium Merdeka dan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

“Dengan mengadakan acara ini, kita dapat mencipta bab baharu dalam perjalanan sejarah Stadium Merdeka.

“Pada Oktober 1996, mendiang Michael Jackson pernah membuat persembahan di Stadium Merdeka ini menerusi konsert Michael Jackson’s HIStory World Tour.

“Justin Bieber pula pernah mengadakan konsert My World Tour pada April 2011. Bukan itu sahaja ramai artis terkenal antarabangsa yang lain pernah mengadakan konsert di Stadium Merdeka sebelum proses pemulihan stadium ini.

“Stadium Merdeka akan dijadikan lokasi buat seluruh rakyat Malaysia menikmati sukan, gaya hidup dan acara budaya,” katanya.

Festival Muzik Futureland akan menampilkan artis popular seperti Hujan, Bunkface, Kugiran Masdo, Aina Abdul, Ayda Jebat, Syamel, Tuju, Zynakal, Fimie Don, Amsyar Lee, Rizal Rasid, Empty Page dan Fugo.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top