Insiden pergaduhan ketika aksi Liga Super JDT menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri baru-baru ini.
JAWATANKUASA Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menjatuhkan hukuman gantung tiga perlawanan kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada selepas insiden di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, kedua-dua pemain itu telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan ‘fair play’ dalam perlawanan Liga Super tersebut.
“(Arif Aiman) melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menumbuk di bahagian muka sebelah kiri pemain Perak FC, Tommy Mawat pada perlawanan tersebut.
“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November serta perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember.
“(Tommy Mawat) melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menanduk kepala dan seterusnya mencengkam leher sebelah kiri Arif Aiman pada perlawanan tersebut.
“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November serta perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kedua-dua pemain itu juga boleh merayu keputusan tersebut selain turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat jika mengulangi kesalahan yang sama.
Dalam perlawanan itu, situasi tegang berlaku pada minit ke-83 selepas Tommy Mawat cuba menghalang larian Arif Aiman sebelum berlakunya pergaduhan.
Tommy Mawat dilihat mencekik Arif Aiman sebelum pemain JDT itu melepaskan tumbukan ke arah kepala pemain Perak itu ketika rakan sepasukan dan pengadil Razlan Joffri Ali cuba meleraikan pergaduhan.