WFM yakin prestasi atlet pelapis teruskan pencapaian terbaik wushu

WFM yakin prestasi atlet pelapis teruskan pencapaian terbaik wushu



sukan@hmetro.com.my

Seremban: Meskipun bakal kehilangan juara dunia, Wong Weng Son, yang mengumumkan persaraan mulai awal tahun hadapan, Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) tetap optimis dapat kekal menyumbang pingat emas buat negara di pentas antarabangsa.

Presiden WFM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, pihaknya masih mempunyai atlet pelapis yang mampu memperagakan aksi mantap dan memberi saingan terbaik di pentas antarabangsa.

“Ketiadaan Weng Son yang sudah mengumumkan untuk bersara memang dirasakan dalam pasukan wushu, namun saya yakin dengan barisan atlet pelapis sedia ada berupaya menggalas cabaran dan menyumbang pingat emas kepada pasukan negara,” kata Kim Fatt, ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, WFM mempunyai Ng Yu Xuan yang meraih satu pingat emas dan satu perak pada Kejohanan Remaja Dunia tahun ini.

“Selain itu Pang Pui Yee dan Calvin Lee, masing-masing merangkul satu perak pada Kejohanan Dunia 2024 dan tidak kurang juga prestasi Wong Zi Hong yang memenangi satu gangsa pada Kejohanan Wushu Asia 2024.

“Kesemua atlet ini adalah sandaran utama kita dan kita yakin mereka mampu memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan wushu negara di pentas antarabangsa,” katanya.

Mengulas persiapan menghadapi Sukan Sea 2025 di Thailand, beliau berkata, WFM sudah mengenal pasti 10 atlet yang akan menggalas cabaran negara pada temasya sukan terbesar rantau ini itu.

Presiden Persekutuan Wushu, Tarian Singa dan Naga Negeri Sembilan itu berkata, pihaknya kekal konsisten untuk menyumbang pingat emas walaupun acara wushu di Thailand bakal dikurangkan kepada 14 berbanding 21 acara ketika temasya sama di Cambodia.

“Walaupun pengurangan acara itu memberi sedikit masalah dalam buruan pingat emas, namun saya yakin atlet yang akan kita sandarkan nanti boleh melakukannya dengan baik.

“Kami akan memulakan persiapan rapi mulai awal tahun hadapan dengan hasrat mahu memastikan reputasi pasukan wushu negara terus kekal di persada antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top