Aaron Chia bercakap pada sidang media Majlis Pengumuman AFFIN Group Sebagai Rakan Bank Rasmi BAM di Menara AFFIN@TRX, pada Jumaat. Foto Bernama
WALAUPUN tanpa kehadiran beberapa pesaing utama, pemain beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia enggan memandang enteng cabaran Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China, Disember ini.
Pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik bergandingan dengan Soh Wooi Yik itu berkata, kategori beregu lelaki sentiasa menyajikan perlawanan sengit.
“Saya rasa ini kali ada peluang tetapi yang lain kuat juga sebab ada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, beregu China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, Sze Fei-Nur Izzudin serta Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (pasangan Denmark). (Jadi) walaupun mungkin (tiada) beregu tiga teratas yang lain masih kuat (jadi) kita hanya lakukan yang terbaik.
“Dalam beregu lelaki sangat kompetitif. Tidak kira siapa layak, tiada perlawanan mudah. Saya rasa kita dapat maksimum slot beregu lelaki (dengan Sze Fei-Nur Izzudin), ia satu kelebihan (buat Malaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pembaharuan kerjasama selama tiga tahun antara AFFIN Group dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang ditandatangani Presiden dan CEO Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah dan Pemangku Presiden BAM Datuk V Subramaniam.
“Badminton lebih daripada sekadar permainan, ia adalah kuasa penyatuan yang memberikan inspirasi kepada kita untuk berusaha mencapai kecemerlangan. Menerusi perkongsian ini, AFFIN komited untuk menyumbang kepada cita-cita sukan negara di samping memupuk budaya semangat kesukanan dan pencapaian,” kata Wan Razly.
Beliau berkata, visi AFFIN untuk badminton Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang adalah untuk menyokong latihan dan pembangunan pemain negara ketika mereka bersaing dalam kejohanan antarabangsa berprestij seperti Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand; Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China; Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dan Sukan SEA 2027 di Sarawak.
Sementara itu, Subramaniam berkata, pembaharuan kerjasama dengan AFFIN ialah bukti kejayaan sokongan korporat dalam memajukan badminton Malaysia.
“Komitmen padu mereka bukan sahaja mengukuhkan program pembangunan malah mewujudkan peluang bermakna buat pemain muda untuk mencapai kecemerlangan,” katanya. – Bernama