SMK Bukit Kapar pasukan biasa, semangat luar biasa

SMK Bukit Kapar pasukan biasa, semangat luar biasa


PASUKAN biasa, semangat luar biasa’, itu falsafah bola sepak pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar, apabila membuka gelanggang kempen Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 (B-15) tahun musim ini.

Malah, pengendali skuad B-15 SMK Bukit Kapar, Hasrul Rasyid Harith berkata, falsafah itu berjaya diterapkan dalam jiwa pemain-pemain sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Klang yang melakukan debut dalam saingan program pembangunan bola sepak berkenaan.

“Kami mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan, tumpuan ketika ini lebih kepada persediaan perlawanan separuh akhir berdepan SMK Shah Alam, yang semua maklum pasukan pilihan.

“Biarpun berada dalam kelompok empat terbaik, kami lebih selesa dengan status pasukan bukan pilihan tambahan pula ini kali pertama SMK Bukit Kapar menyertai saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 tahun ini,” katanya.

Anak buah Hasrul Rasyid sebelum itu mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menyingkirkan cabaran SMK Tasik Kesuma, 3-0 dalam perlawanan suku akhir di padang B Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, Shah Alam pada 3 Disember lalu.

SMK Bukit Kapar sebelum itu membuka tirai Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 dengan muncul juara Kumpulan D – menewaskan SMK Seksyen 10 Kota Damansara (1-0), SMK Dato Abu Bakar Baginda (2-0) dan SMK USJ 8 (4-0).

Pasukan berpangkalan di Kapar itu meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas menjinakkan SMK Bandar Tasik Puteri, 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam perlawanan di JSA Arena Setia Alam, Shah Alam pada 26 November lalu.

Mengulas lanjut kemaraan SMK Bukit Kapar ke pentas empat terbaik, Hasrul Rasyid berkata: “Secara peribadi apabila SMK Bukit Kapar mara ke separuh akhir ini pun sudah menjadi satu kejayaan. Andai kata rezeki kami ke final, ia merupakan satu bonus dan sejarah baru untuk pasukan kami.”

Mengulas persediaan separuh akhir berdepan penyandang juara SMK Shah Alam, Hasrul Rasid berkata, mereka giat menjalani latihan seperti biasa dan cuba memperbaiki beberapa kelemahan pasukan.

“Selain itu, menjelang perlawanan fasa berimpak tinggi pemain-pemain perlu cepat menyerap tekanan dan kekal fokus serta berdisiplin sepanjang tempoh perlawanan.

“Bagi saya, pasukan yang paling kurang melakukan kesilapan akan memenangi perlawanan ini,” katanya.

Ditanya mengenai pasukan SMK Shah Alam kendalian Osmera Omaro yang sudah mendakap trofi Piala Sumbangsih, Hasrul Rasid berkata, sudah tentu SMK Shah Alam merupakan satu nama besar dalam kejohanan ini.

“Lebih-lebih lagi mereka merupakan juara bertahan dan sekali lagi menjadi pasukan pilihan edisi kali ini.

“Biarpun begitu, saya percaya pemain-pemain SMK Bukit Kapar akan bermain bersungguh-sungguh dan berjuang habis-habisan sesuai dengan motto pasukan kami ‘pasukan biasa, semangat luar biasa’,” katanya.

Kejohanan pembangunan B-15 edisi 2024 dibarakan dengan penajaan daripada Kumpulan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.

Info

No Image Caption

Piala Datuk Mokhtar Dahari (Bawah 15 Tahun)

Separuh akhir satu (10 Disember)

SMK Shah Alam lwn SMK Bukit Kapar

(Padang A Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, 3 petang)

Separuh akhir 2

SMK Tinggi Kajang lwn SMK Jalan Tiga

(Padang B Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, 3 petang)



Source link

OR

Scroll to Top