RANTAU PANJANG: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu merampas 15,000 batang anak pokok pelbagai jenis selepas menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki di Kampung Limau Purut, Jalan Panglima Bayu disini kelmarin.
Tangkapan dan rampasan pukul 7 malam itu dilakukan menerusi rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori itu telah menjumpai lebih 15,000 anak pokok pelbagai jenis dipercayai diseludup dari Thailand.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 53 tahun gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan anak pokok tersebut.
“Suspek itu dipercayai bertindak sebagai penghantar untuk menyeludup tumbuhan tersebut ke pasaran tempatan.
“Anggaran nilai berjumlah RM4.5 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barang rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN