Perak FC pilih jalan sukar, tewas kepada Sri Pahang FC

Perak FC pilih jalan sukar, tewas kepada Sri Pahang FC


PERAK FC memilih jalan sukar apabila gagal mencipta kemenangan di gelanggang sendiri selepas tumpas 0-1 kepada Sri Pahang FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini pada Jumaat.

Lebih malang lagi, peluang untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan juga tidak dimanfaatkan tuan rumah ketika pasukan lawan kehilangan seorang pemain akibat dilayangkan kad merah.

Minit awal permainan menyaksikan kedua-dua pasukan seimbang dengan beberapa percubaan ke gawang lawan.

Perak FC beroleh peluang seawal minit ke-4 menerusi penyerang, Clayton Da Silva bagaimanapun tandukannya tersasar ke kiri gawang lawan.

Begitu juga dengan Sri Pahang FC yang mencipta peluang pada minit ke-10 menerusi pemain import mereka, Miykola Ahapov namun percubaannya tersasar ke kanan gawang.

Permukaan padang yang licin agak mengganggu permainan apabila beberapa hantaran yang dibuat kedua-dua pasukan tidak sampai dengan tepat.

Pada minit ke-23, Sri Pahang FC berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan kapten mereka, Kpah Sherman hasil umpanan Saiful Jamaluddin menjadikan kedudukan 0-1.

Tersentak dengan jaringan tersebut, tuan rumah menggandakan asakan ke gawang lawan.

Tiga minit berselang, Perak FC mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun rembatan Sunday Afolabi berjaya ditepis keluar penjaga gol Sri Pahang FC, Zarif Irfan.

Perak FC dilihat semakin agresif dengan beberapa gerakan diatur ke kubu lawan namun pertahanan Sri Pahang FC berjaya menahan asakan tersebut.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah terpaksa membuat pertukaran awal pada babak pertama dengan memasukkan Aiman Yusni apabila Ariff Ar-Rasyid mengalami kecederaan.

Tamat separuh masa pertama menyaksikan Sri Pahang FC kekal mendahului Perak FC dengan jaringan 1-0.

Bersambung babak kedua, Perak FC terus merencanakan peluang untuk menyamakan kedudukan namun beberapa hantaran oleh pemain tuan rumah serba tidak menjadi.

Sebaliknya, pasukan lawan berpeluang menambah jaringan menerusi Manuel Hidalgo namun, penjaga gol Perak FC, Ramdhan Abd Hamid berjaya menolak keluar percubaan tersebut.

Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan pengadil, S Logeswaran pada minit ke-68 ke atas pemain Sri Pahang FC, Nor Azam Azih selepas mengasari pemain tuan rumah.

Berselang beberapa minit kemudian, dua lagi kad kuning dilayangkan ke atas pemain Sri Pahang FC Kpah Sherman dan Sean Selvaraj.

Ketika perlawanan menghampiri penghujung babak, Zarif Irfan dilayangkan kad merah apabila semakan Video Pembantu Pengadil (VAR) mendapati penjaga gol Sri Pahang itu menyiku pemain Perak FC, Clayton.

Susulan itu, Perak terus menggandakan asakan apabila melihat kelebihan bermain dengan 11 orang berbanding 10 pemain lawan.

Bagaimanapun peluang itu gagal dimanfaatkan sehingga tamat perlawanan sekaligus membenarkan Sri Pahang FC membawa pulang tiga mata berharga ke Kuantan pada aksi kedua nanti.



Source link

OR

Scroll to Top