firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Singapura, Tsutomu Ogura akui memuji tahap persembahan anak buahnya yang berjuang hingga wisel penamat untuk mengikat Malaysia tanpa jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.
Walaupun seri, ia sudah memadai untuk membawa Singapura mara ke separuh akhir saingan Piala Asean kali ini.
“Walaupun kami mungkin boleh bermain bertahan, tapi pemain tidak mahu dan mereka mahu bermain untuk menang.
“Pemain hanya mahu menang, menang dan menang saja. Tapi keputusan seri ini bagi saya amat baik dan adil buat kami,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.
Dalam perlawanan itu, skuad Harimau Malaya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kempen Piala Asean 2024 selepas sekadar terikat tanpa jaringan.
Ketumpulan jentera hadapan nyata mengecewakan 31,127 penyokong yang hadir bagi memberi sokongan kepada pemain negara.
Skuad Harimau Malaya terdesak untuk memburu kemenangan dalam aksi ini bagi membolehkan pasukan mengumpul tujuh mata dan mengakhiri saingan Kumpulan A di tangga kedua.
Sebaliknya Singapura yang dibimbing Ogura dari Jepun hanya mahukan seri untuk mereka mengiringi Thailand ke separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd