Tangani secara baik dengan penuh hikmah

Tangani secara baik dengan penuh hikmah


Orang yang berdepan gangguan mental atau gangguan jiwa adalah mereka yang tidak mampu mengawal tindakan atau memahami akibat perbuatannya. Dalam konteks Islam, isu orang yang mengalami gangguan mental memasuki masjid perlu ditangani dengan hikmah memandangkan masjid adalah tempat ibadah yang suci, tetapi Islam juga mengutamakan rahmat dan belas kasihan terhadap golongan lemah.

Rasulullah SAW mengajarkan sikap lemah lembut terhadap mereka yang memerlukan, selari dengan prinsip menjaga kehormatan manusia tanpa mengabaikan adab dan kesucian masjid. Masjid adalah tempat suci dan dihormati dalam Islam. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat sosial dan tempat berkumpulnya umat Islam untuk mengeratkan ukhuwah dan silaturahim.

Oleh itu, setiap tindakan yang berlaku di dalam masjid hendaklah mematuhi adab yang ditetapkan oleh syariat. Berdasarkan kepada firman Allah SWT, maksudnya: “Di rumah ibadat (masjid)  yang diperintahkan oleh Allah SWT supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingati nama Allah SWT padanya, di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah SWT pada waktu pagi dan petang.” (Surah an-Nur: 36) 

Berdasarkan ayat itu dapat difahami bahawa masjid adalah satu tempat mulia di sisi Allah SWT dan menjadi suatu tuntutan kepada kita untuk menjaga kesuciannya daripada perkara yang boleh membawa kepada kerosakan.  

Dalam konteks isu yang tular baru-baru ini, terdapat seorang lelaki yang dikatakan mengalami gangguan mental memasuki masjid sehingga menyebabkan kekacauan berlaku.  Setelah menekuni isu ini, kita boleh merujuk kepada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Wathilah bin al-Asqa’ RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Jauhkanlah masjid-masjid kamu daripada kanak-kanak, orang gila, berjual beli, pergaduhan, kebisingan, pelaksanaan hukum hudud dan menghunuskan pedang. Letakkanlah di pintunya tempat bersuci dan harumkanlah masjid itu pada hari-hari Jumaat.”  (Riwayat Ibn Majah 750)  

Daripada teks hadis ini dapat difahami bahawa baginda Nabi Muhammad SAW melarang orang yang mengalami gangguan mental daripada memasuki masjid. Namun, ulama berpendapat larangan itu bukanlah bermaksud mengharamkannya, tetapi ia dihukumkan makruh. Di antara hikmahnya ialah untuk menghindari daripada mencemari kesucian masjid yang mungkin dilakukan oleh mereka. Hal ini bertepatan dengan apa yang disebutkan di dalam kitab I’lam al-Sajid fi Ahkam al-Masajid karangan Imam al-Zarkasyi, maksudnya: “Dimakruhkan membawa binatang, orang gila dan kanak-kanak yang belum boleh membezakan (antara yang baik dan buruk) ke dalam masjid tanpa keperluan yang mendesak kerana dikhuatiri mereka akan mencemarkan masjid.” (Rujuk I’lam al-Sajid fi Ahkam al-Masajid, hlm 312)  

Walaupun Imam al-Nawawi meletakkan larangan itu secara mutlak tanpa menyatakan sebab larangan itu, namun Imam al-Zarkasyi menjelaskan dengan menyatakan bahawa Imam al-Nawawi dalam al-Raudhah menyebut secara umum larangan membawa kanak-kanak kecil dan orang gila masuk ke dalam masjid. Larangan terhadap orang gila adalah jelas jika ditakuti mereka mencemarkan masjid. Namun, jika mereka terhindar daripada mencemarkannya dan tamyiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk), maka tidak mengapa mereka memasukinya. (Rujuk I’lam al-Sajid fi Ahkam al-Masajid, hlm. 313) 

Menjadi kewajipan bapa, penjaga atau wali untuk memerhati anak atau orang yang di bawah jagaan mereka (termasuk orang yang mengalami gangguan mental) daripada memasuki masjid dan sentiasa bersama mereka serta memantau pergerakan mereka ketika berada di dalam masjid supaya dapat dihindari daripada perbuatan yang boleh mencemarkan kesuciannya. (Rujuk I’lam al-Sajid fi al-Ahkam al-Masajid, hlm 313) 

Jika terdapat tingkah laku yang mencemari kehormatan dan kesucian masjid, maka perlulah penjaga atau wali mereka dengan kadar segera membawa mereka keluar dengan cara yang lembut dan baik dengan mempertimbangkan bahawa mereka ini adalah daripada golongan orang kurang upaya. 

Justeru, disarankan tindakan yang boleh diambil oleh pihak berkenaan bagi menangani situasi berkenaan; 

a. Bertindak dengan adab dan akhlak yang baik: Jika orang yang mengalami gangguan mental memasuki masjid dan tidak menyebabkan gangguan kepada jemaah yang bersolat dan beriktikaf di situ, maka hendaklah disantuni secara baik. Namun, jika individu itu menunjukkan tingkah laku yang mengganggu ketenteraman jemaah, maka langkah berakhlak perlu diambil iaitu dengan memberikan nasihat dan tunjuk ajar yang baik dengan menggunakan bahasa yang lunak dan baik, tidak menengking dan tidak bercakap kasar. 

Sekiranya mereka menunjukkan sifat yang agak agresif, maka tanganilah dengan hikmah tanpa melibatkan kekasaran kerana mereka adalah golongan yang perlu disayangi dan bukan dibenci.

Tindakan sedemikian diambil berdasarkan contoh daripada sunah Nabi SAW yang ditunjukkan dalam satu peristiwa yang direkodkan dalam hadis yang bermaksud: Ketika kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk buang air kecil di masjid. Sahabat Rasulullah SAW menggertaknya, tetapi Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu menghalangnya, biarkan dia selesai  terlebih dahulu” Maka mereka (sahabat) membiarkan orang itu sehingga dia selesai buang air kecil. Setelah itu, Rasulullah SAW pun menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak sesuai untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Quran”. Setelah itu, Nabi SAW memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.” (Riwayat Muslim) 

Melalui hadis ini dapat difahami, akhlak yang dipamerkan oleh Nabi SAW yang tidak memarahi atau bersikap kasar kepada seorang Arab yang buang air kecil di dalam masjid patut dicontohi. Betapa rahmah sikap Nabi SAW kepada orang itu walaupun mengetahui dia melakukan kesilapan mengotori rumah Allah SWT yang merupakan semulia-mulia tempat di muka bumi. 

b: Meminta bantuan pihak berkuasa: Jika keadaan sudah tidak dapat dikawal dan membahayakan keselamatan jemaah atau individu itu, pengurusan masjid boleh meminta bantuan pihak berkuasa bagi menyelesaikan isu itu. Ia bagi memastikan situasi itu tidak mencetuskan masalah yang lebih besar. Pastinya pihak berkuasa yang dilatih dengan situasi tersebut dan berkemahiran mampu menyelesaikannya dengan berbagai cara yang berhemah dan baik. 

Tuntasnya, dihukumkan makruh membawa atau membenarkan orang yang mengalami gangguan mental memasuki masjid berdasarkan dalil daripada hadis serta kenyataan fuqaha kerana dikhuatiri mereka akan mencemarkan kehormatan dan kesucian masjid. Namun, dalam keadaan terdesak seperti tidak ada sesiapa menemani dan mengawasi mereka di luar masjid, maka diharuskan untuk membawa mereka masuk ke dalam masjid, tetapi pergerakan mereka mestilah dipantau waris atau penjaga supaya dapat menghindari daripada melakukan perbuatan boleh mencemarkan kesucian masjid.

Jika orang mengalami gangguan mental masuk ke dalam masjid dengan sendiri serta membuat kekacauan atau gangguan di dalam masjid, maka hendaklah dikeluarkan mereka dengan cara baik dan berhikmah.

Penulis Mufti Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top