hafizithnin@mediaprima.com.my
Gombak: Terminal Bersepadu Gombak (TBG) masih belum dibuka kepada orang ramai meskipun portal tempatan dan beberapa laman media sosial memaklumkan kemudahan itu akan mula beroperasi esok.
Ia susulan portal dan media sosial tempatan berkongsi hantaran dari media sosial TBG memaklumkan mengenai tarikh operasi bermula pada 16 Februari 2025.
Menerusi semakan Harian Metro di Laman Facebook TBG memaklumkan tarikh operasi pusat membeli belah TBG ditunda pada tarikh baharu dan bukan pada hari ini.
Menerusi tinjauan wartawan Harian Metro ke TBG mendapati pihak kontraktor pembinaan masih berkerja keras menyiapkan pelbagai kemudahan di dalam bangunan berkenaan termasuk di bahagian terminal bas.
Menurut salah seorang kontraktor yang tidak mahu namanya didedahkan memaklumkan, TBG belum lagi bersedia untuk beroperasi pada 16 Februari ini ( esok ) kerana masih terdapat bahagian bangunan yang perlu disiapkan.
“Pada awalnya memang ada maklumat menerusi beberapa portal dan media sosial mengenai TBG akan beroperasi pada 16 Februari ini tetapi masih ada lagi bahagian yang perlu diperindahkan dan disiapkan.
“TBG belum lagi bersedia untuk dibuka kepada orang ramai. Namun, sistem bas semua sudah lama bersedia. Hanya terdapat bahagian di dalam bangunan sahaja yang memerlukan kerja akhir terutama di bahagian pusat membeli belah,” katanya.
TBG akan menjadi hab pengangkutan utama untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
© New Straits Times Press (M) Bhd